3 Cara Menjana Pendapatan Melalui Bisnes Online
Table of Contents
Kos sara diri yang semakin meningkat menyebabkan kebanyakan daripada kita mencari pelbagai peluang untuk menambah pendapatan. Walau bagaimanapun, banyak juga orang yang terlalu ghairah untuk menjana pendapatan secara online sehingga menyebabkan ada yang tertipu dan terpedaya dengan penipuan dalam talian. Di dalam artikel ini, kami telah menyenaraikan beberapa jenis bisnes online yang anda boleh kendalikan sendiri untuk mengurangkan risiko ditipu, di samping menjana pendapatan tambahan yang anda perlukan. .
1. Menulis blog
Fenomena blog telah melahirkan penulis-penulis blog yang terkenal seperti Hanis Zalikha, Saiful Nang dan BeautifulNara yang mempunyai jutaan pembaca dan pengikut. Namun, mesti anda tertanya-tanya: Bagaimanakah penulisan blog boleh menghasilkan pendapatan lumayan?
Salah satu caranya adalah dengan memasukkan pautan iklan ke dalam blog anda. Melalui pautan ini, anda boleh memperolehi komisen setiap kali pengunjung blog anda mengklik pautan berkenaan. Sekiranya blog anda mempunyai kadar lawatan yang tinggi, setentunya anda akan mendapat komisen yang ,lumayan. Jangan terkejut sekiranya ada penulis blog yang dapat menjana pendapatan sehingga lima angka hanya dengan cara ini. Antara penyedia perkhidmatan pengiklanan blog ialah Nuffnang.
Sehubungan dengan itu, terdapat pelbagai aspek yang anda perlu pertimbangkan. Pertama, isi kandungan blog anda perlu menarik dan berkaitan dengan pengunjung. Kedua, anda hendaklah mengemaskini isi blog tersebut dengan kerap, mengikuti informasi terkini.
Seterusnya, anda perlu mempromosikan blog anda bagi menarik pengunjung yang ramai. Salah satu cara yang boleh anda cuba adalah dengan berkongsi pautan blog anda di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Selain itu, blog and isi kandungan blog anda hendaklah senang diakses melalui komputer dan peranti mudah alih yang lain agar pengunjung blog anda dapat membaca dan melihat isi blog anda dan mengklik pautan iklan-iklan yang terkandung di dalamnya dengan mudah.
2. Menjual barangan secara secara online
Barangan terpakai
Satu lagi cara untuk menjana pendapatan adalah dengan menjual barangan terpakai secara dalam talian. Cara ini sesuai bagi orang yang mempunyai banyak barangan terpakai yang tidak digunakan lagi.
Di Malaysia, anda boleh menggunakan portal online seperti Mudah.my dan Lelong.com.my, laman sosial Facebook dan Instagram, dan aplikasi seperti Carousel untuk menjual barangan terpakai anda. Anda hanya perlu memuat naik gambar barang berkenaan dan memberikan keterangan pendek mengenai barangan tersebut di dalam laman web atau aplikasi yang anda gunakan.
Namun, pastikan barangan yang dijual berada dalam keadaan yang baik dan masih boleh digunakan. Seeloknya, anda gunakan gambar terbaharu barangan berkenaan bagi menunjukkan keadaan sebenar barangan tersebut.
Produk atau barangan baru
Pernah anda dengar tentang Bella Ammara? Minaz? De’ Xandra? Jenama-jenama tersebut adalah contoh jenama yang bermula dengan perniagaan dalam talian. Mungkin anda belum mempunyai modal untuk mempunyai perniagaan sendiri. Namun, anda boleh bermula dengan menjadi ejen jualan tanpa modal atau stokis dengan modal yang minimum.
Setelah mendapatkan produk yang ingin anda jual, anda boleh membangunkan satu portal online bagi memasarkan produk-produk tersebut. Pada masa ini, terdapat pelbagai kemudahan di Internet yang memudahkan anda memasarkan produk-produk sebegini.
Anda boleh membuka laman sesawang sendiri, atau menggunakan perkhidmatan laman sesawang seperti Lelong, Lazada, atau Mudah, aplikasi mudah alih, serta laman sosial seperti Facebook dan Instagram untuk memasarkan produk yang anda jual.
Hal ini boleh terjadi ketika anda ingin membeli atau menjual produk anda. Sebagai contoh, penipu mungkin akan menyamar sebagai pembeli daripada negara asing dan menawarkan harga tinggi bagi produk yang anda jual. Dia mungkin mengarahkan bahawa anda membuat bayaran deposit untuk mengesahkan pembelian, atau membuka akaun sebagai pembekal produk tersebut.
Jadi, anda mestilah sentiasa berwaspada, dan sahkan kesahihan pembeli dan penjual produk anda.
Perniagaan dalam talian juga memerlukan pengiklanan dan promosi yang kerap bagi menarik minat pelanggan. Selain itu, terdapat persaingan yang sangat tinggi dalam penjualan sebegini terutamanya apabila anda menjual produk-produk yang sedang hangat dalam pasaran. Oleh itu, sebagai peniaga dalam talian, anda perlulah mempunyai ilmu dalam pemasaran, inventori, dan kewangan bagi memastikan perniagaan anda berjalan lancar.
3. Menawarkan perkhidmatan secara sambilan
Satu lagi cara bagi anda menjana pendapatan secara dalam talian adalah dengan menawarkan perkhidmatan secara sambilan. Cara ini sangat sesuai bagi orang yang mempunyai bakat dan kebolehan dalam bidang penyuntingan, fotografi, penulisan, pengkodean dan banyak lagi.
Dengan menggunakan bakat yang anda sedia ada, tidak mustahil bagi anda memperoleh pendapatan lumayan. Malah, anda mungkin dapat membuka peluang bagi menawarkan perkhidmatan ini secara sepenuh masa juga. Bagi sesiapa yang berminat, anda boleh mengunjungi laman sesawang seperti Fiverr, Upwork dan PartTime, selain menggunakan laman sosial bagi mengiklankan perkhidmatan anda.
Selain itu, reputasi anda adalah perkara pertama yang dilihat oleh pelanggan. Oleh itu, testimonial dan maklum balas pelanggan adalah penting. Anda juga perlu memastikan anda mempunyai kelayakan dan profesionalisme yang setimpal dengan pemberi perkhidmatan sepenuh masa. Pada masa yang sama, anda juga perlu sentiasa mengikuti kursus yang boleh menambahkan ilmu mengenai bidang yang anda ceburi.
Kepesatan teknologi Internet memberikan banyak peluang kepada anda untuk menjana pendapatan tambahan secara online. Namun, anda hendaklah bijak agar dapat menjana pendapatan maksimum dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. Kecekalan dan pengetahuan yang tinggi juga perlu bagi memastikan perniagaan berjalan lancar dan memberikan manfaat kepada diri sendiri dan orang di sekeliling anda.