Pernah Terfikir Nak Melancong Ke Thailand? Ini Prosedur Terkini
Table of Contents
Negara Gajah Putih, atau lebih dikenali sebagai Thailand, merupakan salah satu negara di Asia Tenggara yang menawarkan pelbagai destinasi pelancongan yang unik. Sebagai seorang pelancong, anda boleh memilih untuk melawat rumah ibadat, menerokai pulau-pulau yang indah, berjalan romantis di tepi pantai atau sekadar mengambil peluang untuk membeli-belah.
Walaupun destinasi-destinasi seperti Krabi, Bangkok, Pulau Phi Phi dan Phuket terletak di negara asing – tempat-tempat pelancongan sebegini sudah tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Apa tidaknya, sejak kerajaan Thailand memberi kelonggaran untuk merentas sempadan mereka, semakin ramai rakyat Malaysia yang mengambil peluang untuk melancong.
Ada yang melancong untuk bercuti dan ada juga yang melawat sanak saudara di sana. Tidak kisahlah apa sebabnya, bagi mereka yang belum pernah ataupun selalu merentas sempadan Thailand, anda pasti ingin tahu tentang proses memasuki Thailand yang terkini bukan?
Peraturan terkini merentas ke Thailand
Selepas lebih kurang dua tahun kita terpaksa berdepan dengan pelbagai sekatan pelancongan akibat wabak COVID-19, kini peraturan pelancongan antarabangsa sudah kembali longgar.
Setakat 1 Julai, 2022 – berikut adalah peraturan terkini yang telah ditetapkan bagi semua pelancong luar yang ingin melancong ke Thailand:
- Thailand Pass tidak lagi diperlukan untuk rakyat Malaysia yang ingin melancong ke Thailand
- Pelancong luar tidak perlu menunjukkan insurans COVID-19
- Perintah kuarantin di hotel ke atas pelancong telah dimansuhkan
- Pelancong yang telah divaksin tidak perlu menunjukkan bukti dos lengkap sebelum masuk ke Thailand
- Pelancong yang tidak divaksin (termasuk kanak-kanak) perlu melengkapkan ujian RT-PCR atau Pro-ATK 72 jam sebelum masuk ke Thailand. Keputusan ujian haruslah negatif dan bukti tidak perlu dimuat naik sebelum masuk ke sempadan Thailand
- Pemakaian pelitup muka tidak lagi wajib
Dokumen asas yang wajib
Berikut adalah dokumen-dokumen asas yang wajib untuk anda bawa untuk pergi ke Thailand tanpa mengambil kira jenis pengangkutan anda.
- Pasport perjalanan yang sah
- Visa (jika diperlukan atau jika anda melancong melebihi 45 hari)
- Insurans perjalanan (tidak wajib)
- Tempahan hotel penginapan
- Jadual perjalanan penerbangan (jika berkenaan)
- Keputusan ujian COVID-19 (jika belum divaksin)
Cara pergi ke Thailand
Sebenarnya, cara paling mudah untuk anda memilih jenis pengangkutan yang anda perlukan untuk pergi ke Thailand adalah dengan menentukan destinasi anda. Jadi, tentukan destinasi barulah anda pilih jenis pengangkutan yang paling sesuai.
Menaiki kapal terbang
Secara teorinya, jika dibandingkan dengan menaiki tren, bas dan kenderaan sendiri untuk ke Thailand – menaiki kapal terbang merupakan cara yang paling pantas. Bermula 1 Oktober, pelancong tidak perlu memohon Thailand Pass untuk terbang ke Thailand. Pelancong luar juga tidak perlu menunjukkan bukti vaksinasi atau ujian COVID-19. Namun, syarikat penerbangan dan Imigresen Thailand mempunyai pelepasan untuk melakukan ujian COVID-19 secara rawak ke atas anda.
Semasa di Thailand, anda boleh membuat penerbangan domestik tetapi peraturannya sedikit berbeza. Syarikat penerbangan akan memerlukan sijil vaksinasi atau ujian COVID-19 sebelum anda menaiki penerbangan domestik. Tapi jangan risau, kit ujian kendiri tersedia di mana-mana lapangan terbang, farmasi dan kedai runcit di Thailand.
Kebanyakkan syarikat penerbangan antarabangsa akan mengikut peraturan dan prosedur di negara ketibaan. Jadi, kami galakkan anda untuk menyemak peraturan dan prosedur dengan syarikat penerbangan yang anda akan gunakan.
Menaiki pengangktan sendiri, bas, tren atau feri
Setakat ini, Malaysia telah membuka beberapa pintu sempadan antara Malaysia dan Thailand, iaitu serta jenis pengangkutan yang boleh digunakan.
Jenis kenderaan | Senarai sempadan |
---|---|
Kenderaan sendiri | Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, ICQS Wang Kelian, Pengkalan Kubor, ICQS Bukit Bunga, Sungai Kolok, ICQS Bukit Berapit dan Rantau Panjang |
Bas (dari Kuala Lumpur) | Padang Besar, Bukit Kayu Hitam |
Tren | Padang Besar Sungai Kolok |
Dokumen tambahan menaiki kenderaan sendiri
Berikut adalah dokumen yang diperlukan untuk membawa kereta sendiri atau kenderaan yang dipinjamkan:
- Pasport perjalanan yang sah
- Geran kereta
- Perlindungan insurans perjalanan
- Perlindungan insurans kereta
- Borang maklumat kenderaan (TM 2) dan borang maklumat penumpang (TM 3)
- Borang kad putih (white card) untuk setiap pemegang pasport (RM2 setiap satu nama)
- Borang Ikrar
Juga, berikut adalah dokumen tambahan jika anda menggunakan kenderaan orang lain:
- Geran kereta yang asal
- Salinan MyKad pemilik kenderaan
- Surat kebenaran bertulis
Prosedur tambahan menaiki tren
Dengan menaiki tren, anda boleh ke Thailand melalui dua sempadan (Padang Besar dan Sungai Kolok). Setibanya di sempadan, anda perlu mendapatkan cop di pasport anda, tunjukkan sijil vaksinasi di aplikasi MySejahtera anda.
Dah selesai, anda boleh mencari teksi atau van mini di sempadan Padang Besar. Jika anda ingin sambung menaiki tren, anda perlu membeli kereta api SRT Thailand yang menuju ke Hat Yai atau Bangkok. Rancang perjalanan tren anda kerana buruk padahnya jika anda tertinggal keretapi.
Perkhidmatan | No. Tren | Waktu Tiba | No. Tren | Waktu Berlepas | Waktu Tiba |
---|---|---|---|---|---|
ETS | 9276 9278 | 0004 0418 | 948 | 0955 (Msia) 0855 (Thai) | 1050 (Msia) 0950 (Thai) |
KTM Komuter | 2940 2942 | 0711 0816 | 948 | 0955 (Msia) 0855 (Thai) | 1050 (Msia) 0950 (Thai) |
Perkhidmatan | No. Tren | Waktu Tiba | No. Tren | Waktu Berlepas | Waktu Tiba |
---|---|---|---|---|---|
ETS | 9272 9274 | 1241 1523 | 950 | 1640 (Msia) 1540 (Thai) | 1735 (Msia) 1635 (Thai) |
KTM Komuter | 2946 2950 2954 | 1026 1226 1426 | 950 | 1640 (Msia) 1540 (Thai) | 1735 (Msia) 1635 (Thai) |
Untuk pulang kembali dari Hat Yai ke Padang Besar, sila rujuk jadual yang berikut:
No. Tren | Waktu berlepas | Waktu Tiba | Perkhidmatan | No. Tren | Waktu Berlepas |
---|---|---|---|---|---|
947 | 0730 (Thai) 0830 (Msia) | 0825 (Thai) 0925 (Msia) | ETS | 9277 9425 | 1340 1550 |
947 | 0730 (Thai) 0830 (Msia) | 0825 (Thai) 0925 (Msia) | KTM Komuter | 2951 2955 | 1035 1235 |
No. Tren | Waktu berlepas | Waktu Tiba | Perkhidmatan | No. Tren | Waktu Berlepas |
---|---|---|---|---|---|
949 | 1400 (Thai) 1500 (Msia) | 1455 (Thai) 1555 (Msia) | ETS | 9279 | 1646 |
949 | 1400 (Thai) 1500 (Msia) | 1455 (Thai) 1555 (Msia) | KTM Komuter | 2963 2965 2969 | 1635 1735 1835 |
Tidak perlu Visa untuk ke Thailand
Bermula 1 Oktober, 2022, Thailand’s Centre for COVID-19 Situation Administration (CCSA) mengumumkan – pelancong dari Malaysia kini boleh berada di Thailand sehingga 45 hari berbanding tempoh semasa iaitu 30 hari di bawah peraturan Visa Exemption. Peraturan ini berkuat kuasa sehingga 31 Mac 2023.
Dalam kata lain, rakyat Malaysia tidak perlu mendapatkan pengesahan visa untuk melancong ke Thailand. Ini kerana Malaysia adalah antara 64 negara yang dibenarkan untuk masuk ke Thailand tanpa perlu mendapatkan visa jika tempoh pelancongan tersebut tidak melebihi 45 hari. Namun, jika anda bercadang untuk melancong ke Thailand lebih daripada 45 hari, anda perlu memohon visa di Kedutaan Thai. Gunakan pautan ini untuk butiran yang lebih terperinci.
Hati-hati sebelum melancong
Salah satu langkah berjaga-jaga yang anda boleh ambil adalah dengan menyemak senarai insurans perjalanan konvensional dan takaful di iMoney yang melindungi anda semasa anda sedang bercuti. Walaupun insurans perjalanan bukanlah sesuatu yang wajib, tetapi lebih baik untuk ada insurans perjalanan dan tidak memerlukannya berbanding memerlukannya dan tiada.
Sekali lagi – sentiasa semak peraturan dan prosedur terkini sebelum melancong ke Thailand. Selamat bercuti dan Sawadikap Thailand!