Apa Faedah-Faedah Yang Disediakan PERKESO Sebenarnya?

by
Tags: , ,
faedah PERKESO

Kalau anda sedang berkerja, anda pasti tahu yang tiap tiap bulan, sebahagian gaji anda akan ditolak untuk bayaran PERKESO. Mungkin anda juga tahu yang bayaran PERKESO itu akan digunakan untuk membayar bil hospital atau klinik anda jika anda dilanda kemalangan ketika sedang ke tempat kerja.

Tapi tahukah anda yang sebenarnya, bayaran PERKESO anda boleh digunakan untuk macam macam lagi faedah dan kelebihan yang lain? Mari kita lihat apa faedah faedah yang anda boleh dapat.

Apa itu PERKESO?

Sebelum kita boleh mengkaji dengan lebih dalam faedah faedah yang disediakan Perkeso, pertama sekali kita perlu tahu apa sebenarnya PERKESO ni.

Jadi, PERKESO sebenarnya nama pendek untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial. Fungsi Pertubuhan Keselamatan Sosial ni pula, adalah untuk memastikan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungannya menerusi skim-skim perlindungan yang diperkenalkan.

Dibawah perlindungan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, mana-mana pejabat atau organisasi yang menggajikan seorang atau lebih pekerja wajib;

  • Mendaftar dibawah PERKESO,
  • Memastikan semua pekerja didaftarkan dan mencarum kepada PERKESO,
  • Melaporkan segala kemalangan di tempat kerja atau berkaitan dengan kerja.

Manakala bagi pihak pekerja, semua pekerja dibawah kontrak perkhidmatan atau bimbingan dalam sektor swasta atau kakitangan kontrak atau sementara kerajaan dan badan-badan berkanun perlu mendaftarkan diri dibawah Perkeso dan mencarum.

Kadar caruman PERKESO bagi pihak majikan dan pekerja bergantung kepada kadar gaji pekerja. Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk jadual ini.

Jenis-jenis faedah PERKESO

Antara benda yang mungkin anda tak tahu adalah, sebenarnya ada banyak skim perlindungan dibawah PERKESO. Skim-skim ini semua dicipta dengan tujuan untuk melindungi seseorang pekerja dan tanggungan mereka dari sebarang perkara yang tidak diingini.

Skim bencana pekerjaan

Skim Bencana Pekerjaan merupakan skim perlindungan PERKESO yang paling asas. Skim ini melindungi pekerja yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya. 

Perlindungan di bawah skim ini meliputi kemalangan berikut;

  • Kemalangan semasa menjalankan pekerjaan

Merangkumi kemalangan yang terjadi sewaktu menjalankan pekerjaan.

  • Kemalangan semasa dalam perjalanan

Merangkumi kemalangan yang terjadi sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja.

  • Kemalangan semasa kecemasan

Merangkumi kemalangan yang berlaku semasa pekerja berada dalam atau berdekatan dengan mana-mana premis tempat kerja bagi tujuan menyelamatkan, membantu atau melindungi orang yang mendapat bencana atau bahaya semasa kecemasan.

  • Penyakit khidmat

Merangkumi penyakit yang disebabkan daripada aktiviti pekerjaan.

Jadi sekarang kita dah tau apa dia kemalangan yang dilindungi oleh skim ini, mari kita lihat faedah faedah yang disediakan oleh skim ini;

Faedah perubatan

Antara faedah yang boleh dimohon oleh pekerja yang ditimpa kemalangan yang dilindungi oleh PERKESO adalah mereka layak mendapat rawatan percuma di mana mana klinik panel PERKESO atau klinik/hospital kerajaan hingga pulih sepenuhnya.

Pekerja juga boleh mengemukakan permohonan tuntutan ganti belanja bagi klinik yang bukan panel PERKESO.

  • Faedah hilang upaya sementara

Faedah hilang upaya sementara akan diberikan kepada pekerja yang mengalami kecederaan yang menghalang pekerja tersebut dari menjalankan aktiviti kerja sekurang kurangnya empat (4) hari.

Di bawah faedah ini, pekerja akan dibayar 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja. Kadar minimum bayaran faedah adalah RM30.00 sehari dan maksimum RM132 sehari.

  • Faedah hilang upaya kekal

Bagi pekerja yang kehilangan keupayaan bekerja secara kekal, mereka akan dilindungi oleh faedah hilang upaya kekal yang disediakan PERKESO.

Dibawah faedah ini, pekerja yang hilang upaya secara kekal akan dibayar 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari.

  • Elaun layanan sentiasa

Jika seseorang pekerja mengalami kecederaan yang teruk hingga memerlukan khidmat layanan istimewa, maka mereka boleh memohon elaun ini untuk membayar khidmat penjaga terlatih.

  • Kemudahan pemulihan jasmani/vokasional

Dibawah faedah ini, PERKESO akan membantu pekerja untuk kembali bekerja, sama ada di pekerjaan sedia ada atau dengan memberikan latihan untuk pekerjaan baru.

Kemudahan ini diberikan kepada pekerja yang layak dalam bentuk;

  • Fisioterapi
  • Terapi pekerjaan
  • Pembedahan rekonstruktif
  • Bekalan prostetik, ortotik dan lain-lain alat
  • Bekalan ortopedik seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran, cermin mata, kasut khas dan lain-lain

Pemulihan vokasional termasuk:

Latihan dalam bidang seperti elektrikal, jahitan, membaiki radio / TV, menaip dan lain-lain.

Faedah orang tanggungan (FOT)

Jika pekerja yang mencarum PERKESO meninggal dunia disebabkan kemalangan di tempat kerja atau kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, dan meninggalkan tanggungan, Perkeso akan membayar faedah orang tanggungan terhadap mereka mengikut kadar yang berikut; 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja, tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari.

Faedah pengurusan mayat

Sekiranya seorang pekerja meninggal dunia akibat dari kemalangan sewaktu bekerja, semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, atau sewaktu menerima Faedah Hilang Upaya Kekal berkala, maka amaun sebanyak RM2,000 akan dibayar kepada waris terdekat.

Jika tiada waris, maka amaun itu akan dibayar kepada pihak yang menanggung segala perbelanjaan pengebumian itu.

Faedah pendidikan

Faedah Pendidikan merupakan suatu kemudahan dalam bentuk pinjaman disediakan kepada anak tanggungan sekiranya pekerja yang mencarum;

  • Meninggal dunia akibat bencana pekerjaan
  • Menerima bayaran berkala faedah hilang upaya kekal

Skim keilatan

Selepas skim bencana pekerjaan, faedah perlindungan kedua yang disediakan oleh PERKESO adalah skim keilatan.

Apa itu skim keilatan? Skim keilatan adalah skim yang melindungi seseorang pekerja dan juga tanggungan beliau jika pekerja tersebut terlibat dalam kemalangan berkaitan dengan kerja hingga menyebabkan kehilangan upaya secara kekal.

Skim keilatan akan terguna pakai apabila;

  • Pekerja mengalami suatu keuzuran yang berkekalan samada tidak boleh diubati atau tidak mungkin sembuh serta,
  • tidak berupaya mencari nafkah dengan kerja yang berpadanan dengan kekuatan dan tenaganya, sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada keupayaan pekerja yang normal

Berikut merupakan faedah faedah yang disediakan dibawah skim keilatan;

  • Pencen ilat
  • Bantuan ilat
  • Elaun layanan sentiasa
  • Pencen penakat
  • Kemudahan pemulihan jasmani/vokasional/return to work/dialisis
  • Faedah pengurusan mayat
  • Faedah pendidikan

Employment insurance scheme (SIP)

Sejak 1 Januari 2018, PERKESO juga mula menyediakan skim baru yang bernama Employment Insurance Scheme (EIS) atau Skim Insurans Pekerja (SIP).

Apa fungsi SIP ni? SIP akan menyediakan penggantian pendapatan kepada pencarum PERKESO apabila mereka hilang pekerjaan.

SIP juga akan membantu pencarum PERKESO dalam usaha mencari pekerjaan baru dengan mendaftarkan pencarum di dalam program program seperti MyFutureJobs, dan juga menjalani latihan kemahiran.

PERKESO baru-baru ini mengumumkan bahawa ia telah menguatkuasakan siling gaji baharu untuk tujuan caruman. Siling gaji telah dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 dan berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2024.

Pencarum PERKESO layak menerima faedah SIP jika;

  • Memohon dalam tempoh 60 hari dari tarikh kehilangan pekerjaan
  • Memenuhi syarat kelayakan caruman seperti mempunyai bilangan caruman yang mencukupi
  • Tidak bekerja mengikut definisi kehilangan pekerjaan di bawah Akta SIP

Antara faedah-faedah yang disediakan dibawah SIP termasuk;

  • Elaun mencari pekerjaan
  • Elaun pendapatan berkurangan
  • Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA)
  • Fi latihan
  • Elaun latihan
  • Elaun orang tanggungan

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri diwujudkan untuk memberi peluang kepada individu yang pekerja sendiri untuk melindungi diri sendiri dari sebarang bencana atau kemalangan .

Skim ini diperkenalkan tahun 2017 untuk pekerja e-hailing dan taxi, tapi kemudian diperluaskan untuk merangkumi 19 sektor pekerjaan sendiri yang lain, menjadikan 20 sektor kesemuanya di bawah perlindungan skim ini.

Individu bekerja sendiri yang mencarum dibawah skim ini akan menerima faedah faedah seperti yang disediakan di dalam Skim Bencana Pekerjaan.

Cara mohon faedah PERKESO

Cara mohon faedah PERKESO, bergantung kepada skim apa yang anda ingin pohon.

Berikut merupakan cara memohon faedah PERKESO mengikut skim;

  • Skim bencana pekerjaan dan skim keilatan

Untuk skim bencana pekerjaan dan skim keilatan, tanggungjawab memohon faedah apabila berlaku sebarang bencana atau kemalangan jatuh adalah tanggungjawab majikan. Langkah langkah yang perlu diambil majikan adalah seperti berikut;

i) Isi dan hantarkan borang 34. Borang 34 boleh didapati

ii) Hantarkan rekod kedatangan, sijil sakit, dan salinan kad pengenalan ke pejabat PERKESO yang berdekatan

iii) Laporkan kemalangan kepada polis dan sertakan laluan perjalanan ke tempat kerja, jika kemalangan tersebut terjadi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

  • SIP

Manakala untuk SIP, anda perlu ke laman web ini untuk memfailkan permohonan anda.

Manfaatkan faedah PERKESO anda

Jadi sekarang anda sudah lebih berpengetahuan tentang PERKESO, dan apa sebenarnya fungsi caruman PERKESO anda. Jadi jika apa apa kemalangan atau bencana terjadi pada anda, sekarang anda sudah tahu apa yang harus dilakukan.

Artikel ini telah dikemaskini pada Okt 14, 2024.

Get even more financial clarity with an iMoney account for FREE

We’ve tailored insightful tidbits just for you.

Or
Continue with email

By signing up, I agree to iMoney’s
Terms & Conditions and Privacy Policy

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.
newsletter image