Apakah Skor Kredit Dan Bagaimana Ia Berfungsi?
Table of Contents
Pernahkah anda tertanya-tanya apa yang dipertimbangkan oleh bank apabila anda memohon pinjaman atau kad kredit? Bagaimanakah institusi kewangan akan tahu jika anda layak mendapat bantuan untuk membeli kereta baru? Apa yang membantu bank membuat keputusan untuk memberi pinjaman kepada anda?
Di sinilah anda akan ketahui mengenai dua kata ajaib: skor kredit.
Apakah skor kredit? Kenapa saya perlu ketahui ini?
Secara amnya, skor kredit akan memaklumkan bank jika anda benar-benar akan membayar balik pinjaman anda. Ia menilai sejarah kewangan anda supaya institusi kewangan boleh menentukan jika mereka ingin berurusan dengan anda. Sama seperti bagaimana anda memerlukan resume apabila memohon pekerjaan, anda juga memerlukan pemeriksaan kesihatan kewangan yang lengkap sebelum memohon pinjaman.
Anda juga akan mempunyai lebih banyak pilihan pembiayaan kerana lebih banyak bank akan mahu berurusan dengan anda. Selain itu, bank-bank ini juga mungkin menawarkan pelan pembayaran balik yang lebih baik. Skor kredit yang kurang memuaskan mungkin tidak menggalakkan bank memberikan pinjaman kepada anda.
Anda mungkin tidak menyedarinya, tetapi skor kredit anda sudah mempengaruhi kehidupan anda – terutamanya keputusan kewangan anda – lebih daripada apa yang anda fikirkan.
Kami perlu menekankan betapa pentingnya bagi anda mengetahui skor kredit anda sebelum memohon pinjaman, malah sebelum anda memohon apa-apa pun. Memohon pinjaman tanpa mengetahui skor kredit anda adalah seperti menonton filem ‘Mission Impossible’ tanpa mengetahui siapa Tom Cruise.
Jadi bagaimanakah skor kredit ini berfungsi?
Skor kredit memberikan anda penarafan berdasarkan bilangan pinjaman dan kad kredit yang anda telah ambil dan jika anda telah membayarnya balik secara konsisten.
Selain memberikan skor anda, laporan ini juga memberi analisis mendalam mengenai semua hutang dan tabiat pembayaran balik anda. Dari sana, anda boleh menilai tabiat pembayaran balik pinjaman anda sendiri, dan juga menyemak jika anda terlepas apa-apa bayaran penting yang akan memberi kesan dan menjejas skor anda. Laporan anda juga akan memberitahu anda jika terdapat sebarang tuntutan undang-undang aktif yang diambil terhadap anda.
Jadi, jika anda fikir tiada sesiapa akan mengetahui anda tidak melakukan beberapa bayaran PTPTN bulanan dan sebaliknya menikmati percutian hujung minggu – anda salah.
Sejarah kredit anda disimpan dan dijejak oleh pangkalan data dimiliki Bank Negara Malaysia yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). Dari sini, agensi pelaporan kredit seperti RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI), CTOS, dan Biro Kredit Malaysia dibenarkan mengakses maklumat ini, justeru dapat menjanakan skor kredit anda.
Apakah yang akan menjejaskan skor kredit saya?
Banyak perkara dapat menjejaskannya, seperti pinjaman pelajar (PTPTN), pinjaman kereta, kad kredit, ansuran bulanan untuk barangan yang anda telah beli dan sebagainya.
Agensi penarafan kredit mempertimbangkan banyak perkara, seperti sejarah pembayaran seseorang individu, campuran kredit dan jumlah pinjaman yang terhutang, tempoh sejarah kredit, permohonan kredit baru dalam tempoh 12 bulan yang lepas, dan rekod prestasi undang-undang.
Secara ringkas, selagi anda mengutamakan pembayaran balik bulanan anda setiap bulan, anda akan mempunyai skor yang lebih tinggi. Ini bermakna sebaik sahaja anda mendapat gaji, anda akan terus membayar pinjaman pelajar, pinjaman kereta, hutang kad kredit, dan apa-apa hutang lain anda kepada bank.
Setiap kali bank terpaksa memanggil dan mengejar anda untuk bayaran bulanan anda, ia akan mempengaruhi kedudukan kredit anda. Setiap kali anda berfikir anda tidak akan disenarai hitam jika tidak melakukan beberapa bayaran, ingat bahawa ia akan menjejaskan skor kredit anda dan juga pelan kewangan masa depan anda pada akhirnya.
Bagaimana jika saya abaikan sahaja?
Sebenarnya, awak tidak boleh berbuat demikian. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, skor kredit anda mempengaruhi kehidupan anda dalam pelbagai cara, sama ada anda menyedarinya atau tidak. Sekiranya anda tidak menjaga kesihatan kewangan anda, ia boleh menyebabkan banyak masalah untuk anda pada masa akan datang. Sebagai contoh, ia mungkin menjejaskan peluang untuk memiliki rumah impian anda kerana permohonan anda untuk pinjaman rumah mungkin akan ditolak.
Ini juga boleh menjejaskan hubungan anda dengan pasangan anda memandangkan bahawa anda berdua ingin membeli rumah bersama-sama.
Jika anda mempunyai skor kredit yang kurang memuaskan, ia juga mungkin menjejaskan prospek pekerjaan anda. Pada amnya, majikan tidak menyemak skor kredit bakal pekerja mereka. Namun demikian, jika pekerjaan tersebut adalah berkaitan kewangan, atau jika majikan ingin memberi anda tanggungjawab kewangan, skor kredit anda akan mendedahkan sikap anda terhadap wang dan mempengaruhi keputusan bakal majikan untuk mengambil anda.
Soalan penting: Jadi, BAGAIMANA untuk mengira skor kredit saya?
Setiap agensi pelaporan kredit yang disebutkan di atas boleh melakukannya untuk anda; anda hanya perlu membayar fi yang nominal. Sebaliknya, iMoney CreditScore yang ditawarkan secara percuma, menggunakan maklumat daripada RAMCI dan menyediakan perkhidmatan susulan tambahan. Anda hanya perlu menjawab beberapa soalan mengenai diri anda dan hal kewangan anda untuk bermula.
Menurut iMoney CreditScore, skor yang ideal harus sekurang-kurangnya 581 (daripada 781). Jika lebih tinggi daripada itu, maka lebih mudah bagi anda memohon pinjaman dan kad kredit. Jika skor anda lebih rendah daripada itu, jangan risau, anda boleh mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan skor kredit anda.
Tidak mempunyai pinjaman atau kad kredit di bawah nama anda tidak semestinya suatu perkara yang baik. Ia bermakna bahawa anda tidak mempunyai sejarah kredit pada masa ini. Cuba memohon kad kredit yang tidak mempunyai bayaran tahunan untuk mewujudkan sejarah kredit. Dengan berbuat demikian, bank-bank akan mempunyai rujukan mengenai kesihatan kewangan anda yang dapat membantu keputusan mereka untuk memberi pinjaman kepada anda.