Bagaimanakah Potongan Cukai Bulanan (PCB) Berfungsi Di Malaysia?
Setelah selesai membuat pengiraan cukai, dan jika anda masih terkejut dengan jumlah cukai yang perlu dibayar, jangan khuatir. Anda mungkin layak untuk menerima bayaran balik cukai pendapatan selepas mengambil kira Potongan Cukai Bulanan (PCB).
PCB ialah satu mekanisme di mana majikan membuat potongan gaji pekerja mereka untuk tujuan pembayaran cukai bulanan. Para majikan bergantung kepada data peribadi pekerja mereka yang telah dihantar ke Jabatan Sumber Manusia bagi tujuan pengiraan jumlah PCB setiap bulan.
Oleh itu, potongan bulanan yang dibuat ini ialah jumlah bersih setelah mengambil kira pelepasan individu, pelepasan untuk isteri/suami yang tiada pendapatan, pelepasan anak dan pembayaran zakat.
PCB sebagai cukai muktamad
Bermula dengan cukai pendapatan bagi Tahun Taksiran 2014 (cukai yang difailkan pada tahun 2015) di Malaysia, pembayar cukai yang telah membuat PCB tidak perlu memfailkan penyata cukai pendapatan sekiranya potongan cukai bulanan yang dibuat merupakan cukai muktamad mereka. Namun, mereka perlu memfailkan cukai sekiranya ingin mengurangkan jumlah pendapatan yang boleh dikenakan cukai melalui pelepasan. Langkah ini dapat mengelak mereka yang tidak memfailkan cukai daripada mendapat rekod yang negatif.
Namun,tiga kriteria seperti yang tertera di bawah haruslah dipenuhi:
- Pekerja tersebut hendaklah menerima pendapatan pekerjaan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 13, Akta Cukai Pendapatan 1967.
- PCB pekerja tersebut hendaklah dibuat di bawah Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994; dan
- Pekerja tersebut hendaklah telah berkhidmat untuk majikan yang sama untuk tempoh selama 12 bulan di bawah satu tahun kalendar (iaitu dari 1 Januari hingga 31 Disember).
Untuk memastikan bahawa PCB anda ialah cukai muktamad, anda mungkin perlu memohon supaya potongan dibuat untuk apa-apa pelepasan yang lain. Hal ini dapat dilakukan dengan mengisi dan menyerahkan Borang Cukai Pendapatan TP1. Anda boleh menyenaraikan pelepasan lain yang anda berhak anda dapati di dalam borang ini untuk tujuan pengiraan PCB.
Pelepasan yang boleh dituntut di dalam borang tersebut termasuk:
- Rawatan perubatan, keperluan khas dan kos penjaga bagi ibu bapa,
- Peralatan sokongan asas untuk kegunaan pekerja yang kurang upaya, suami/isteri atau ibu bapa yang kurang upaya,
- Yuran pendidikan diri sendiri,
- Kos perubatan untuk penyakit serius,
- Pemeriksaan kesihatan yang lengkap,
- Pembelian buku, majalah dan jurnal,
- Pembelian komputer riba (sekali setiap 3 tahun),
- Deposit bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),
- Pembelian peralatan sukan,
- Bayaran alimoni kepada bekas isteri,
- Insurans nyawa,
- Insurans pendidikan/perubatan,
- Anuiti tertunda,
- Faedah untuk pinjaman perumahan(tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan), dan
- Pembayaran zakat (hanya jika belum dipotong melalui PCB).
Dilampirkan di sini adalah senarai penuh pelepasan cukai pendapatan Malaysia 2017.
Setelah menghantar borang kepada LHDN dan memberikan salinannya kepada majikan anda, majikan anda akan membuat pembayaran amaun PCB anda kepada LHDN pada setiap bulan, selaras dengan Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994.
Jika majikan anda membuat potongan jumlah PCB daripada gaji anda pada setiap bulan untuk tempoh berterusan selama 12 bulan – anda mungkin akan mendapati bahawa terdapat cukai terlebih bayar apabila anda memfailkan cukai anda.
Teruskan membaca untuk mengetahui bagaimana untuk mendapatkan pengembalian cukai individu anda di Malaysia.