Bagaimana Berjimat Di Bulan Ramadan Ini
Table of Contents
Bulan Ramadan sentiasa dinantikan oleh semua umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di serata dunia. Ketika berpuasa, kita mengawal diri daripada nafsu, namun perbelanjaan pada bulan Ramadan kebiasaannya adalah lebih tinggi daripada bulan-bulan lain, ditambah lagi dengan perbelanjaan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pada bulan Ramadan ini, saya cuba sedaya upaya untuk mengurangkan kos, dan dalam masa ini, saya mempelajari 10 cara untuk menjimat wang sepanjang Ramadan.
1. Memasak sendiri di rumah
Penyediaan makanan bagi berbuka puasa dan sahur adalah antara perkara utama pada bulan Ramadan. Kadangkala, pada bulan Ramadan kita “teringin” untuk memakan juadah istimewa.
Untuk mengelakkan perbelanjaan berlebihan, saya sering memasak sendiri juadah berbuka puasa atau sahur kerana semestinya ia akan dapat menjimatkan kos.
Dengan kos RM100, anda mungkin boleh membeli bahan-bahan masakan untuk sekeluarga dalam 3 hari ke seminggu.
2. Merancang terlebih dahulu
Apabila saya memutuskan untuk memasak sendiri juadah buka puasa dan sahur, saya wajib membuat perancangan bagi juadah yang ingin saya masak terlebih dahulu. Pertamanya, saya dapatkan panduan resipi di Internet atau di laman sosial.
Paling penting, saya membuat perancangan kewangan atau ‘bajet’ bagi bahan-bahan masakan yang diperlukan. Apabila merancang menu setiap minggu, saya memastikan bahan-bahan yang telah dibeli boleh digunakan dalam beberapa lauk, untuk mengelakkan pembaziran.
Apabila membeli bahan masakan, ia juga penting untuk membuat perbandingan harga di beberapa kedai atau hypermarket. Hypermarket sering membuat promosi di bulan Ramadan, dan anda pasti boleh membuat penjimatan apabila anda membuat perbandingan harga.
Salah satu cara saya memaksimakan penjimatan di waktu Ramadan adalah dengan memesan keperluan makanan sekeluarga sekaligus atas talian.
3. Pilih juadah yang sesuai
Apabila saya bercadang untuk tidak memasak, saya pasti akan membuat penyelidikan dan perbandingan harga sebelum saya memilih restoran untuk membeli juadah untuk dibawa pulang atau memesan atas talian.
Pada masa sekarang, terdapat banyak restoran yang menyediakan hidangan berbuka puasa secara pakej atau kombo yang lebih murah berbanding pakej biasa. Ketika memilih pakej berkenaan, pastikan bahawa harga yang ditawarkan berpatutan dan setimpal dengan hidangan yang ditawarkan.
Jangan lupa mengira caj penghantaran and memasukkan kos tersebut dalam harga makanan yang dipesan. Anda juga perlu mempertimbangkan tawaran tersebut berdasarkan jumlah makanan dan bilangan ahli keluarga yang akan berbuka puasa dengan anda.
Selain itu, sekarang terdapat banyak restoran dan hotel yang menawarkan diskaun bagi pesanan juadah buka puasa. Diskaun seperti “Beli 5 dapat 1 percuma” ditawarkan oleh hotel-hotel tempatan dan promosi khas untuk pesanan atas talian.
4. Berbelanja dengan hemat di sepanjang bulan Ramadan
Sebaik-baiknya, buatlah perancangan mengenai juadah yang anda ingin beli setiap hari dan juga kuantitinya. Anda juga perlu menetapkan amaun maksima yang anda boleh belanjakan sepanjang Ramadan.
Anda juga perlu sentiasa berwaspada tentang kuantiti makanan yang ditawarkan kerana terdapat penjual yang akan menjual makanan kombo dengan lebih ‘murah’ seperti RM10 bagi 3 pek nasi yang berharga RM4/satu pek. Dalam situasi ini, tanya diri anda: Adakah anda memerlukan makanan sebanyak itu?
Terutamanya bagi orang yang bekerja dan tidak mempunyai masa untuk memasak, perancangan yang rapi dapat memastikan anda berbelanja dengan hemat setiap kali membuat pesanan atas talian atau membeli dari restoran dan kedai-kedai makanan.
5. Elakkan perjalanan yang jauh
Tidak dapat dinafikan, terdapat banyak juadah istimewa yang berlainan menjelang Syawal, dan ramai dalam kalangan kita yang suka mengunjungi kedai atau restoran yang terletak jauh dari rumah kita.
Sekiranya kedai yang ingin anda kunjungi itu terletak jauh daripada kawasan rumah atau pejabat, ia mungkin akan menambahkan perbelanjaan pengangkutan.
Sekiranya anda teringin untuk menikmati juadah yang tidak dijual di tempat lain, mungkin anda boleh mencari juadah atas talian dan lihat sama ada mereka mempunyai servis penghantaran makanan yan mungkin lebih berbaloi berbanding kos pengangkutan sendiri.