Tiga Cara Untuk Memudahkan Pembayaran PTPTN Anda

by
Tags: ,
ptptn repayment plan

Pada tahun 1997, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional telah ditubuhkan sebagai pinjaman pendidikan tinggi untuk para pelajar di Malaysia.

Sememangnya pinjaman PTPTN adalah satu manfaat sejagat buat rakyat Malaysia, kerana ia dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan dan berkelayakan untuk meneruskan pendidikan di peringkat tinggi.

Lanjutan daripada ini, kita dapat lihat bahawa semakin ramai pula yang meninggalkan tanggungjawab mereka daripada menyelesaikan pinjaman PTPTN. Ini telah menjejaskan keupayaan PTPTN untuk terus memberikan pinjaman pelajaran kepada orang lain yang memerlukannya. Pada lewat 2019, PTPTN telah mengisytiharkan bahawa hutang peminjam PTPTN telah mencecah sebanyak RM40 bilion.

Seperkara lagi tentang PTPTN yang rakyat Malaysia sering terlupa atau tidak tahu langsung adalah PTPTN menggunakan model pembiayaan yang bergantung pada prestasi bayaran balik peminjam semasa untuk membiayai pinjaman pada masa hadapan. Ini bermaksud, jika kita gagal untuk membayar semula pinjaman PTPTN, kita sebenarnya menghalang peluang pelajar lain untuk menggunakan manfaat yang disediakan oleh PTPTN.

Cara untuk menyelesaikan hutang PTPTN

Kita semua tahu bahawa tanpa perancangan yang baik, menyelesaikan apa-apa hutang bukanlah perkara yang boleh dibuat main. Terutamanya bagi mereka yang selalu terlepas membuat pembayaran, dan tidak tahu cara untuk memulakan atau meneruskan pembayaran PTPTN mereka.

Jadi, untuk memudah dan mempercepatkan pembayaran PTPTN anda, berikut adalah tiga cara mudah yang boleh anda pertimbangkan.

1. Melakukan penstrukturan semula pinjaman anda

Sekiranya anda sudah lama terlepas membuat pembayaran pinjaman PTPTN, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah menstrukturkan semula pinjaman PTPTN anda.

Tetapi, apakah itu penstrukturan semula? Bagaimana jika kita hendak membuat penstrukturan semula dan apakah manfaatnya dalam konteks pembayaran hutang PTPTN?

Sebelum kita merungkai kesemua persoalan di atas, ayuh kita lihat situasi yang biasanya dihadapi oleh graduan baharu di Malaysia:

Ali baru sahaja tamat pengajian dari universiti. Dia mempunyai tempoh selama 12 bulan untuk mencari kerja dan perlu mula membuat pembayaran ansuran pinjaman PTPTN beliau. Namun, agak sukar untuk Ali mencari pekerjaan dan disebabkan itu, dia terus menganggur.

12 bulan selepas tarikh graduasi, Ali masih gagal untuk mencari kerja dan tempoh pembayaran PTPTN Ali pun bermula. Disebabkan Ali tiada pendapatan, dia tidak dapat memulakan pembayaran PTPTN tersebut dan hutang PTPTN Ali pun terus bertambah.

Enam bulan selepas pembayaran PTPTN ali bermula, Ali menemui sebuah pekerjaan. Dia mula membuat pembayaran PTPTN namun terkejut apabila pembayaran tersebut ditolak. Ali tidak sedar bahawa dia perlu menyelesaikan hutang pembayaran yang tertunggak dahulu, sebelum dia dibenarkan untuk membuat pembayaran bulanan.

Ali tidak mempunyai banyak simpanan untuk menyelesaikan hutang yang tertunggak, dan akhirnya dia terus gagal membuat pembayaran PTPTNnya.

Di sinilah di mana penstrukturan pinjaman boleh membantu anda. Penstrukturan pinjaman akan mencampurkan jumlah tunggakkan bersama jumlah penuh pinjaman PTPTN anda. Ini bermaksud, anda tidak perlu menyelesaikan jumlah tunggakkan sebelum membuat pembayaran bulanan, sebaliknya anda boleh terus membuat pembayaran bulanan kerana jumlah tunggakkan sudah dicampur bersama jumlah penuh pinjaman.

Penstrukturan pinjaman akan mengubah terma pinjaman anda dari segi jumlah pembayaran bulanan dan tempoh penuh pembayaran pinjaman.

Berikut adalah contoh penstrukturan pinjaman:

Ali mempunyai hutang PTPTN sebanyak RM32,000 dan ingin menyelesaikan seluruh jumlah tersebut dalam masa sembilan tahun. Dia juga mempunyai hutang PTPTN yang tertunggak sebanyak RM3,000. Tanpa penstrukturan pinjaman, Ali perlu menyelesaikan RM3,000 tersebut dahulu sama ada dengan pinjaman peribadi atau kad kredit. Berdasarkan situasi ini, Ali ingin menyelesaikan pembayaran PTPTN tersebut melalui pinjaman peribadi yang mempunyai 10% kadar faedah dan tempoh pinjaman selama lima tahun.

Berikut adalah contoh pembayaran Ali:

PTPTNPinjaman PeribadiJumlah
Jumlah prinsipalRM32,000RM3,000RM35,000
Kadar faedah1% setahun10% setahun-
Tempoh108 bulan60 bulan-
Ansuran bulananRM322.97RM63.74RM386.71
Jumlah faedah yang dibayarRM2,880.00RM824.47RM3,704.47

Hutang asal Ali yang berjumlah RM32,000 telah bertambah kepada RM38,704.47.

Jika Ali bijak dalam membuat keputusan kewangan, Ali akan melakukan penstrukturan pinjaman PTPTN berdasarkan jumlah yang beliau mampu bayar. Selepas melakukan penstrukturan, Ali akan menyelesaikan seluruh hutang beliau dalam tempoh 10 tahun (menggantikan tempoh asal sembilan tahun) dan hanya perlu membayar RM500 sebagai bayaran hutang yang tertunggak untuk memulakan semula pembayaran PTPTN beliau.

PTPTN
Jumlah prinsipalRM32,000
Kadar faedah1% setahun
Tempoh baharu120 bulan
Ansuran bulanan baharuRM293.34
Jumlah faedah yang dibayarRM3,200

Selepas melakukan penstrukturan, jumlah pembayaran PTPTN ali hanya akan menjadi RM35,200 (RM32,000 + RM3,200 + RM500).

Mungkin anda tertanya-tanya, bagaimana jika anda tidak mampu untuk membayar RM500 untuk menjelaskan hutang yang tertunggak? Jangan risau, jumlah tersebut boleh dirunding bersama PTPTN. Penstrukturan pinjaman telah memberikan Ali lebih masa untuk menyelesaikan pinjaman PTPTN dan sekali gus dapat merendahkan ansuran bulanan.

Untuk melakukan penstrukturan pinjaman, anda hanya perlu hadir ke cawangan PTPTN terdekat, dan berbincang tentang terma penstrukturan pinjaman anda.

2. Menggunakan auto-debit untuk membayar pinjaman

Tatkala anda perlu menguruskan pinjaman kereta, bil telefon, air dan elektrik, sememangnya mudah untuk anda terlepas pandang tentang pinjaman PTPTN.

Jadi, sebab itulah strategi kita yang seterusnya adalah menggunakan kaedah pembayaran auto-debit untuk membayar pinjaman PTPTN. Dengan kaedah pembayaran auto-debit, anda tidak perlu risau tentang membuat pembayaran bulanan.

Untuk menggunakan kaedah auto-debit, berikut adalah beberapa langkah yang anda harus lakukan.

i) Log masuk ke akaun PTPTN anda menggunakan pautan ini.

ii) Klik pada “Penyata Baki Terperinci”

iii) Kemudian, anda akan tiba di halaman yang menunjukkan butiran pinjaman anda, berserta baki yang perlu dijelaskan. Di halaman yang sama, tatal ke bawah dan klik pada butang “Pendaftaran untuk direct debit”.

iv) Akhir sekali, lengkapkan borang pendaftaran tersebut.

Selepas permohonan anda diluluskan, pembayaran PTPTN anda akan dijelaskan setiap bulan secara automatik melalui akaun bank anda.

3. Menggunakan kaedah potongan gaji automatik

Satu lagi cara mudah untuk menyelesaikan hutang PTPTN anda sambil mengelakkan hutang daripada terus tertunggak adalah melalui kaedah potongan gaji automatik.

Kaedah potongan gaji akan memotong gaji anda secara automatik setiap bulan sebagai pembayaran pinjaman PTPTN anda. Ia boleh dikatakan sama seperti kaedah auto debit.

Untuk menggunakan kaedah ini, anda hanya perlu pergi ke pautan ini, dan ikut langkah-langkah yang berikut. Anda juga boleh memohon kaedah potongan gaji ini dengan hadir di mana-mana cawangan PTPTN, tetapi jangan lupa untuk membawa slip gaji anda bersama anda.

Melakukan pembayaran jika anda mempunyai wang lebih

Setelah anda melakukan penstrukturan pinjaman, menggunakan auto debit atau potongan gaji, anda hanya perlu menghitung hari sehingga selesainya pembayaran PTPTN anda.

Namun, jika anda ingin mempercepatkan proses ini, anda boleh membuat pembayaran tambahan jika anda mempunyai wang lebihan.

Bagaimanakah caranya? Mudah sahaja. Anda hanya perlu hadir ke cawangan PTPTN terdekat, dan berbincang bersama ejen PTPTN tentang pembayaran dan baki anda selepas membuat pembayaran tambahan.

Pembayaran tambahan yang anda lakukan boleh membantu anda menyelesaikan pembayaran PTPTN secara perlahan-lahan dan memendekkan tempoh pinjaman anda. Secara tidak langsung, ini akan mencepatkan proses pembayaran PTPTN – dan mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar.

Sekarang, anda boleh menggunakan segala pengetahuan di atas untuk menyelesaikan pembayaran PTPTN anda dengan lebih mudah dan cepat. Perlu diingatkan bahawa, PTPTN adalah sebuah modal pinjaman yang bergantung pada prestasi bayaran balik peminjam semasa untuk membiayai peminjam lain yang memerlukan dana pembelajaran.

Dapatkan diskaun untuk pembayaran balik

Juga, bermula dari 1 November 2021 hingga 30 April 2022, PTPTN akan memberikan diskaun untuk peminjam pinjaman PTPTN, sebuah inisiatif yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022.

Diskaun yang ditawarkan adalah sebanyak 15% jika anda membuat pembayaran penuh, diskaun 12% jika anda membuat separuh pembayaran, dan diskaun 10% jika anda membuat penjadualan potongan gaji atau potongan auto debit.

Peminjam yang ingin membuat pembayaran penuh atau separuh bayaran boleh membuat pembayaran melalui dalam talian atau hadir di mana-mana cawangan PTPTN berdekatan, namun anda perlu mendapatkan pengesahan hutang PTPTN anda melalui portal rasmi PTPTN atau hubungi eksekutif pemasaran PTPTN.

Get even more financial clarity with an iMoney account for FREE

We’ve tailored insightful tidbits just for you.

Or
Continue with email

By signing up, I agree to iMoney’s
Terms & Conditions and Privacy Policy

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.
newsletter image