Cara Paling Optimum Untuk Menggunakan Kad Kredit Anda
Table of Contents
Setakat 2021, jumlah kes kebankrapan bagi kategori hutang kad kredit adalah sebanyak 345 kes. Boleh dikatakan bahawa rakyat Malaysia semakin matang dan peka terhadap tanggungjawab kewangan mereka. Mungkin mereka sememangnya mempunyai kesedaran yang tinggi dan hanya memerlukan dorongan. Ada juga yang memerlukan kesilapan untuk mengajar mereka.
Apa-apa pun sebabnya, jika anda ingin mula belajar atau menambah baik pengurusan kad kredit anda, sila teruskan pembacaan.
Kad kredit 101
Kad kredit merupakan kaedah pembayaran yang membolehkan pengguna memperolehi barangan dan perkhidmatan secara pinjaman kredit. Selepas itu, anda perlu bayar semula kepada institusi kewangan yang memberi pinjaman tersebut atau anda akan dikenakan penalti. Jika anda gagal menyelesaikan penalti, nama anda akan disenarai hitamkan melalui Perintah Mahkamah.
Sebelum memohon kad kredit
Berikut adalah sedikit pandangan untuk anda pertimbangkan sebelum memohon kad kredit:
- Kad kredit sebenarnya bertujuan untuk memudahkan pengurusan kewangan. Sesuai digunakan jika anda boleh membayar secara tunai atau melalui kad debit tetapi inginkan lebih cashback atau ganjaran.
- Anda perlu menyediakan simpanan kecemasan sekurang-kurangnya enam bulan pendapatan bulanan sebelum memohon kad kredit. Jika ada apa-apa yang terjadi anda tidak perlu risau kerana anda sudah mempunyai jaringan kewangan.
- Sila lihat senarai kad kredit cashback terbaik di sini. Juga, rajin-rajinkan membaca setiap Terma & Syarat dan Lembaran Dedahan Produk semasa memilih kad.
Cara mengoptimumkan kad kredit anda
1. Guna, bayar dan ulang
Kad kredit sering dianggap sebagai sesuatu yang menggerunkan. Tetapi itu hanya kerana jika seseorang itu tidak pandai mengurus kewangan dan emosi mereka semasa berbelanja. Walaupun setiap individu mempunyai tabiat perbelanjaan yang berbeza, empat langkah di bawah ini adalah asas penggunaan kad kredit yang betul:
- Hanya gunakan kad kredit untuk perbelanjaan mengikut bajet bulanan/tahunan anda.
- Elakkan daripada menggunakan kad kredit jika anda tiada wang di dalam akaun simpanan/semasa untuk membeli sesuatu.
- Selesaikan bayaran bulanan kad kredit secara penuh setiap bulan. Jangan sesekali meninggalkan baki bayaran. (Lihat cara optimum ke-2.)
- Ulang langkah-langkah ini sehingga anda memotong atau membatalkan kad kredit anda.
2. Bayar bil mengikut tempoh
Salah satu cara penting untuk mengelakkan bil dan hutang kad kredit anda bertambah adalah dengan melesaikan bayaran bulanan kad kredit secara penuh setiap bulan. Namun, lain orang lain bil yang perlu dibayar. Berikut adalah caj-caj yang kebiasaannya dikenakan ke atas anda:
- Yuran penyertaan. Pengeluar kad kredit anda mungkin akan mengenakan yuran semasa anda memohon kad kredit. Bayaran ini akan dikenakan sekali sahaja dan mungkin berbeza bergantung kepada pihak pengeluar.
- Yuran tahunan. Ini adalah yuran tetap yang anda perlu bayar setiap tahun. Walaupun anda tidak pernah menggunakan kad kredit tersebut, anda masih perlu membayarnya. Terdapat juga kad yang tiada yuran tahunan dan kad yang akan mengecualikan yuran tahunan jika anda berbelanja melebihi had yang ditetapkan. Jangan lupa untuk menghubungi pengeluar kad kredit anda tentang pengecualian yuran tahunan. Namun, ini bergantung kepada penggunaan dan pembayaran bulanan kad kredit anda dan budi bicara pengeluar kad.
- Caj faedah. Caj faedah dikenakan kepada anda oleh pengeluar kad kredit ke atas baki yang belum dijelaskan selepas tamatnya tarikh pembayaran. Jumlah caj faedah juga boleh bertambah sekiranya anda tidak membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan.
- Yuran pendahuluan wang tunai. Ini merupakan salah satu ciri kad kredit yang pengguna sering terlepas pandang. Kebiasaannya, jika anda mengeluarkan wang tunai di ATM melalui kad kredit, anda akan dikenakan caj 3% hingga 5% daripada jumlah yang dikeluarkan. Ini seharusnya menjadi pilihan terakhir anda untuk mendapatkan wang tunai.
- Caj bayaran lewat. Caj bayaran lewat akan dikenakan kepada anda jika anda gagal untuk menjelaskan jumlah bulanan minimum sebelum tarikh yang ditetapkan. Jika anda membuat pembayaran selepas tempoh tanpa faedah berakhir, anda bukan sahaja dikenakan caj kewangan ke atas baki yang belum jelas, anda juga perlu menjelaskan caj bayar lewat ke atas jumlah bayaran minimum bulanan.
3. Tawar diri untuk bayar dahulu
Ada dari kita yang sering makan di luar beberapa bulan sekali dengan rakan-rakan. Ada juga yang membeli-belah dan melancong. Ambil peluang ini dengan menawarkan diri untuk membayar seluruh bil tersebut terlebih dahulu. Kemudian rakan-rakan anda boleh membayar semula kepada anda.
Ini merupakan cara yang bijak kerana sesetengah kad kredit akan mengecualikan yuran tahunan jika anda berbelanja melebihi had yang ditetapkan. Anda juga boleh berbelanja secara besar tanpa menjejaskan bajet bulanan anda. Hanya pastikan rakan anda tidak ‘terlupa’ untuk membayar semula kepada anda.
4. Senarai Kod Kategori Pedagang
Pernahkah transaksi kad kredit Islamik anda dibatalkan walaupun anda tidak memesan sebarang produk yang terlarang? Ini mungkin disebabkan Senarai Kod Kategori Pedagang. Senarai ini mengandungi nama penyedia, perkhidmatan dan produk peniaga. Di Malaysia, senarai ini juga digunakan untuk mengesan sama ada produk atau perkhidmatan yang dijual adalah halal atau tidak dari sisi Islam.
Sebagai contoh, anda membuat transaksi di sebuah restoran. Anda tidak memesan makanan atau minimum yang terlarang, tetapi transaksi kad kredit Islamik anda dibatalkan. Besar kemungkinan adalah disebabkan kad kredit tersebut hanya tersedia untuk produk dan perkhidmatan yang mematuhi Shariah. Pembelian terlarang yang lain, termasuk tetapi tidak terhad kepada minimum keras, rokok, vape dan pembelian loteri. Anda boleh menukar kad kredit Islamik kepada konvensional jika perkara ini sering berlaku kepada anda.
5. Sentiasa log masuk ke akaun anda
Salah satu sebab mengapa kad kredit lebih mudah digunakan berbanding wang tunai adalah penyata bulanan dalam talian. Apabila anda menggunakan kad kredit untuk transaksi, simpan kesemua resit tersebut. Kemudian log masuk ke akaun kad kredit anda untuk melihat hitam putih transaksi kad kredit anda – di mana anda berbelanja, berapa anda berbelanja, dan baki had perbelanjaan anda.
Semak sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan perbelanjaan anda sentiasa berada dalam kawalan anda. Jika anda kenal pasti bahawa anda menghampiri had bajet bulanan anda, terus elak daripada menggunakan kad kredit tersebut. Anda juga boleh mengesan sebarang percanggahan atau transaksi yang dilakukan tanpa kebenaran anda. Jadikan ini satu amalan biasa dan sentiasalah menggunakan semua ciri-ciri yang disediakan oleh kad kredit anda.
6. Hanya untuk perbelanjaan besar
Kebanyakan pengguna kad kredit mengeluh tentang hutang kad kredit. Salah satu penyebab adalah perbelanjaan impulsif yang kita sendiri tidak sedar. Kita berasa bahawa RM10 atau RM20 itu sedikit, tetapi jika dibelanjakan setiap hari tanpa sedar, jumlah ini boleh berlipat ganda dan menjejaskan bajet bulanan kita.
Sebaliknya, anda boleh menggunakan wang tunai atau kad debit untuk perbelanjaan kecil dan kad kredit untuk perbelanjaan besar. Simpan dahulu untuk perbelanjaan besar anda dan apabila sudah cukup, beli menggunakan kad kredit dan bayar semula pembelian tersebut dengan wang yang anda sudah simpan. Jangan biasakan diri dengan hutang walaupun prinsip utama kad kredit adalah meminjam.
Tips tambahan
Berikut adalah beberapa yang pengguna sering terlupa tentang kad kredit:
1. Penipuan kad kredit
- Elak daripada memberi butiran kad kredit anda (nombor kad dan tarikh luput) kepada orang lain walaupun seseorang yang rapat dengan anda. Jika tidak, akan timbul kemungkinan untuk maklumat kad kredit anda digunakan tanpa disedari.
- Simpan nombor telefon pengeluar kad kredit anda supaya anda boleh menghubunginya serta-merta jika terdapat kehilangan atau kecurian, transaksi tanpa kebenaran atau pendedahan PIN kepada pihak ketiga.
- Potong kad kredit anda yang telah luput kepada dua bahagian apabila anda menerima kad baharu.
- Jangan sesekali membiarkan juruwang atau pelayan untuk mengambil kad kredit anda semasa melakukan transaksi. Pastikan anda yang melakukan imbasan atau ‘payWave’ atau pastikan mereka melakukanya di hadapan anda. Ini kerana maklumat kad kredit anda boleh disalin oleh orang lain dengan menggunakan alat tertentu.
2. Tambah kad kredit
- Pemegang kad utama (anda) boleh mencadangkan sesiapa sahaja (pasangan atau ahli keluarga) untuk menjadi pemegang kad tambahan, juga dikenali sebagai ‘Supplementary Card’. Ini juga bergantung kepada syarat-syarat yang dikenakan oleh pengeluar kad kredit anda.
- Pemegang kad utama (anda) wajib untuk menjelaskan segala pembelian yang dibuat oleh pemegang kad tambahan (pasangan atau ahli keluarga). Ini bergantung kepada syarat-syarat yang dikeluarkan oleh pengeluar kad, jadi semak dan teliti butiran terma dan syarat kad kredit anda.
3. Kurangkan caj kad kredit
- Pilih tawaran yang terbaik. Sesetengah pengeluar tidak mengenakan sebarang yuran tahunan dan yuran penyertaan, sekurang-kurangnya untuk tahun pertama.
- Elak daripada menggunakan kad kredit anda untuk pendahuluan wang tunai. Pendahuluan melalui kad kredit sepatutnya dilakukan sebagai pilihan terakhir kerana caj yang dikenakan adalah tinggi. Sebaliknya gunakan kad kredit atau kad ATM anda.
- Pastikan butiran peribadi anda yang disimpan oleh pengeluar kad adalah tepat, terutamanya nombor telefon dan alamat rumah anda. Ini supaya anda boleh membuat pembayaran bulanan secepat mungkin tanpa dilengahkan oleh perkara kecil seperti alamat rumah tidak lengkap.
Fikir masak-masak
Harus diingatkan bahawa setiap imbasan dan transaksi kad kredit diibaratkan seperti perjanjian. Setiap perjanjian tersebut harus ditunaikan mengikut tempoh yang telah dipersetujui oleh anda dan bank pilihan anda. Jadi, berbelanjalah mengikut kemampuan, bina skor kredit yang sihat dan jauhilah sikap suka memungkiri janji.