Elak perangkap kemuflisan
Setiap hari, 60 orang yang berumur antara 35 hingga 44 tahun diisytiharkan muflis di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang muflis mencecah sehingga 34%, menurut Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada The Star.
“Dari tahun 2007 hingga September tahun ini, 116,488 orang telah diisytiharkan muflis,” kata beliau setelah menyerahkan sijil pelepasan muflis kepada 30 individu di satu majlis baru-baru ini. Apabila seseorang itu dihimpit dengan jumlah hutang yang tidak dapat diatasi, mereka mungkin perlu memilih pelan kemuflisan. Kadang kala dengan jumlah hutang yang besar, kemuflisan mungkin adalah satu-satunya jalan penyelesaian. Kebanyakan orang berfikir yang ianya adalah penghujung jalan apabila mereka diisytiharkan muflis, tidak kira sama ada permohonan dilakukan oleh pemiutang ataupun mereka sendiri. Jadi, bagaimana caranya untuk mengelakkan perangkap muflis dan apakah batasan atau sekatan yang dikenakan ke atas anda apabila anda diisytiharkan muflis?
Kesan Diisytihar Bankrap
Kemuflisan boleh menyebabkan sekatan ke atas banyak aktiviti yang berkaitan kewangan seperti mendapatkan pinjaman, penggunaan kad kredit anda atau akaun simpanan, malah untuk pergi melancong ke luar negara, namun kemuflisan boleh dielakkan jika hutang dikurangkan dengan betul sebelum ianya bertambah di luar kawalan anda.
Nancy berkata bahawa kemuflisan bukanlah penghujung jalan bagi peminjam kerana ia sebaliknya bertindak sebagai perlindungan apabila mereka tidak mampu membuat bayaran disebabkan pelbagai faktor. Di negara seperti Australia, England dan Amerika Syarikat, rakyat mereka menggunakan kemuflisan sebagai perlindungan dengan memfailkan permohonan kemuflisan dan menstruktur semula hutang mereka.
Namun, pengisytiharan kemuflisan tidak bermakna seseorang itu dikecualikan dari membayar semua hutang mereka. Jika mustahil, ianya adalah sesuatu yang patut kita elakkan. Individu dengan tahap hutang yang tinggi adalah dinasihatkan untuk menguruskan hutang mereka dengan betul kerana mereka lebih terdedah kepada kemuflisan.
Untuk mereka yang dibebani hutang dan berdepan dengan kesukaran untuk membuat bayaran, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu mereka dengan pengurusan hutang. Individu yang tidak dapat menguruskan hutang mereka dengan sendiri dan memenuhi kriteria kelayakan asas boleh mendaftar di bawah Program Pengurusan Hutang (DMP). Menurut pangkalan data AKPA, kini terdapat 235,991 rakyat Malaysia yang menghadiri khidmat kaunseling tentang pengurusan hutang dan kewangan dan 96,238 dari mereka mendaftar dengan Program Pengurusan Hutang (DMP).
“Melalui program tersebut, sejumlah 4,196 individu telah berjaya keluar dari program itu,” menurut Desmond Chong, Pelatih dan Ketua Unit Program Penyelarasan di AKPK. “Kami mengendalikan lebih dari 1,000 seminar setahun dan kami juga menerbitkan pelbagai artikel untuk menganjurkan kemahiran pengurusan kewangan. Terdapat juga program radio yang disokong oleh Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Star Radio Group (Suria FM dan 988 FM) untuk mendidik orang awam tentang pengurusan kewangan yang baik,” tambah Chong lagi. Dengan pelbagai bantuan dari AKPK melalui media massa, rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan nasihat dan pertolongan yang diperlukan dengan mudah. Apabila berdepan dengan jumlah hutang yang melampau, ia membawa perbezaan yang besar apabila mempunyai bantuan professional untuk berunding terma pembayaran baru dengan pihak bank dan juga untuk menguruskan perihal kewangan peribadi anda untuk mengatasi krisis kewangan.
Demi membendung kemuflisan di kalangan rakyat Malaysia, pendidikan adalah penting untuk menjadikan orang awam lebih berkemampuan dan bijak dalam bidang kewangan. Untuk individu yang bergelumang dengan hutang yang besar, mereka boleh disokong dengan menyediakan jalan di mana mereka boleh mendapatkan nasihat dan kaunseling berkenaan perkara yang berkaitan kewangan peribadi, seperti AKPK.
Lihat tentang kemuflisan di Malaysia dan bagaimana ia memberi kesan kepada anda melalui infografik ini.