Cara Untuk Mengenalpasti ‘Scam’ Pinjaman Peribadi
Table of Contents
Pinjaman peribadi memang menjadi satu fasiliti kewangan yang popular di kalangan rakyat Malaysia. Sehingga hari ini, ramai rakyat Malaysia mempunyai pinjaman peribadi dan mendapat manfaat darinya.
Jika digunakan untuk kebaikan, pinjaman peribadi banyak memberi manfaat kepada setiap individu. Contohnya adalah seperti membaiki rumah, membantu ibu bapa, pengurusan hutang, dan juga sebagai modal untuk perniagaan.
Namun, perlu diingat bahawa bukan semua pinjaman peribadi yang ditawarkan adalah tulen; terutamanya jika pinjaman tersebut tidak berasal dari bank. Bank Negara Malaysia (BNM) juga sering memberi nasihat dan peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pinjaman peribadi.
Kami ingin kongsikan dengan anda beberapa cara untuk mengenalpasti pinjaman peribadi yang ditawarkan adalah satu penipuan.
#1 Tawaran melalui media sosial
Pernahkah anda lihat iklan di media sosial seperti Facebook, Instagram, WeChat atau Twitter berkenaan tawaran pinjaman peribadi yang boleh lulus walaupun anda sudah disenaraihitam oleh pihak bank? Jangan terkejut kerana perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan untuk pemberi pinjaman peribadi melakukan penipuan.
Ini adalah perkara yang paling mudah untuk anda mengenalpasti pemberi pinjaman peribadi tersebut adalah betul atau sekadar satu penipuan. Sebenarnya, tawaran seperti ini adalah satu berita gembira kepada individu yang tidak layak mendapatkan pinjaman peribadi dari pihak bank.
Walau bagaimanapun, ada juga peminjam tulen was akan memberi pinjaman peribadi kepada individu yang disenaraihitam. Tetapi mereka biasanya tidak akan mengiklankan perkhidmatan melalui media sosial.
#2 ‘Pinjam RM5,000, bayar RM5,000’
Cara lain anda boleh tahu pemberi pinjaman tersebut menipu adalah melalui tawaran pinjaman tanpa faedah atau keuntungan di pihak pemberi pinjaman.
Contohnya adalah seperti tawaran ‘pinjam RM5,000, bayar RM5,000’. Ini bermakna, pihak pemberi pinjaman menawarkan pinjaman tanpa kadar faedah atau keuntungan.
Seperti kita tahu, setiap syarikat pemberi pinjaman adalah satu perniagaan dan sudah pasti mahukan keuntungan dari setiap pinjaman yang ditawarkan. Jadi, sangat mustahil untuk sesuatu syarikat untuk memberi servis mereka tanpa mengharapkan keuntungan.
Selain itu, anda juga perlu berhati-hati jika ada syarikat pemberi pinjaman yang memberikan kadar faedah yang terlalu rendah sehingga melebihi dari kadar faedah semasa pihak bank.
#3 Bayaran awal dan pendahuluan
Modus operandi yang biasa dilakukan oleh syarikat jenis ini adalah dengan memberitahu permohonan pinjaman yang dalam proses sukar untuk diluluskan. Oleh itu, untuk meluluskan permohonan pinjaman tersebut adalah dengan memberi bayaran pendahuluan.
Selepas bayaran awal diterima, syarikat tersebut biasanya akan terus hilang dan tidak dapat dihubungi. Kes seperti ini biasanya berlaku apabila pemohon pinjaman peribadi terlalu mengharap dan terdesak untuk mendapatkan pinjaman peribadi tersebut.
Akhirnya, pinjaman peribadi tidak dapat, kerugian pula yang perlu ditanggung.
Selain bayaran awal, syarikat pemberi pinjaman yang ingin menipu anda biasanya akan meminta anda membayar kos pengurusan yang terlalu tinggi.
#4 Akaun Media Sosial Palsu
Bagi individu yang aktif dalam dunia media sosial, anda mungkin pernah didatangi oleh individu yang menawarkan pinjaman peribadi. Kebiasaannya, mereka akan menggunakan gambar wanita yang cantik sebagai satu umpan awal.
Perkara pertama anda boleh lihat adalah gambar di akaun media sosial tersebut. Jika gambar yang digunakan adalah gambar seperti binatang dan gambar orang lain, kemungkinan untuk berlaku penipuan adalah tinggi.
Mereka juga gemar untuk menghantar pesanan ringkas (SMS) atau melalui applikasi whatsapp dengan tawaran yang sangat menarik dan sukar untuk ditolak.
Selain itu, mereka juga lebih gemar untuk memproses segala urusan melalui online sahaja dan tidak perlu berjumpa. Cara ini menjadikan mereka untuk lebih mudah melakukan penipuan kerana tidak perlu keluar berjumpa dengan orang ramai.
#5 Paksa Tandatangan
Bagi individu yang sudah diluluskan pinjaman peribadi, mereka perlu menandatangani surat perjanjian sebagai tanda persetujuan.
Jika anda sebagai peminjam tidak diberi peluang untuk baca isi kandungan perjanjian dan dipaksa tandatangan perjanjian tersebut, itu menandakan anda mungkin akan ditipu melalui perjanjian yang berat sebelah.
Perkara yang sering berlaku adalah apabila peminjam tidak sedar tentang kadar faedah yang mereka ambil adalah terlalu tinggi. Akhirnya, pelanggan terpaksa membayar jumlah pinjaman tersebut sehingga melebihi 10 kali ganda dari jumlah pinjaman.
Bagaimana Jika Anda Sudah Tertipu dan Apa Yang Perlu Dilakukan?
Jika anda merupakan mangsa dari skim penipuan pinjaman peribadi, anda boleh lakukan perkara-perkara berikut.
1. Buat laporan Polis
Pertama sekali, sila buat laporan di Balai Polis dan beri keterangan. Tujuan laporan polis dilakukan adalah supaya pihak polis boleh membantu jika terdapat penipuan dan juga melindungi diri anda dari sebarang ancaman.
Berdasarkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan, penipuan tersebut akan disiasat dan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda jika bersalah.
2. Dapatkan nasihat dari penasihat kewangan
Apabila sudah ditipu dengan pemberi pinjaman peribadi, anda mungkin menghadapi masalah yang lebih teruk dalam mengurus kewangan anda. Oleh itu, cara terbaik adalah untuk dapatkan nasihat kewangan supaya pengurusan kewangan anda menjadi lebih baik.
3. Sebarkan nama penipu tersebut
Jangan berasa malu untuk kongsikan pengalaman anda ditipu oleh syarikat pinjaman peribadi. Perkongsian tersebut mungkin berjaya menyelamatkan ramai lagi individu dari tertipu dengan jumlah yang lebih besar.
Akhir kata, jika anda ingin dapatkan pinjaman peribadi, pastikan anda memohon dari syarikat atau saluran yang betul supaya tidak tertipu. Anda boleh semak senarai syarikat pemberi pinjaman berlesen dan berdaftar dengan BNM.