Apa Itu Buy Now, Pay Later, Dan Haruskah Anda Menggunakannya?
Table of Contents
- Apa itu Buy Now, Pay Later?
- Kelebihan Buy Now, Pay Later
- Kekurangan Buy Now, Pay Later
- BNPL vs kad kredit
- Perbandingan platform Buy Now, Pay Later
- Apakah akibat jika anda terlewat membuat pembayaran?
- Apa yang anda harus lakukan sebelum Buy Now, Pay Later
- Adakah anda perlukan BNPL?
- Haruskah anda Buy Now, Pay Later?
Adakah anda perasan tentang pilihan pembayaran terbaru? Kini, terdapat pelbagai platform Buy Now, Pay Later (BNPL) yang telah diperkenalkan di Malaysia. Platform ini membantu anda membeli barang keperluan dan kehendak anda tanpa sebarang yuran atau faedah bulanan. Tetapi, tahukah anda tentang cara untuk menggunakannya?
Secara asasnya, platform Buy Now, Pay Later (BNPL) bertujuan untuk memudahkan aliran kewangan pembeli dengan membahagikan pembelian besar kepada ansuran bulanan.
Apa itu Buy Now, Pay Later?
Platform BNPL membolehkan anda membuat pembelian dengan membahagikan jumlah pembelian kepada bayaran ansuran bulanan, yang kebiasaannya mempunyai 0% faedah. Ada juga platform yang menawarkan penangguhan pembayaran sehingga hujung bulan, atau bayar pada bulan yang seterusnya. Namun, mereka mungkin akan mengenakan caj pembayaran lewat jika anda tidak menepati perjanjian anda.
Berikut adalah konsep BNPL:
- Jika anda membeli sesuatu daripada penyedia yang menggunakan BNPL, anda boleh memilih untuk membayar melalui platform BNPL.
- Anda mungkin perlu membuat pembayaran muka, kebiasaannya pembayaran ansuran pertama daripada jumlah pembelian.
- Kemudian anda membayar jumlah yang selebihnya setiap bulan.
Kelebihan Buy Now, Pay Later
- 0% faedah ansuran. Kebanyakan platform BNPL menawarkan 0% faedah untuk pembelian anda. Ini bermaksud anda tidak perlu membayar sebarang faedah atau caj – melainkan anda terlewat membuat pembayaran.
- Anda mungkin tidak memerlukan skor kredit yang baik. Anda wajib memerlukan kad kredit jika anda ingin memohon 0% faedah ansuran menggunakan kad kredit. Dan untuk memohon kad kredit, anda memerlukan skor kredit yang baik. Tetapi, sesetengah platform BNPL mungkin tidak memeriksa skor kredit. Ini bermaksud, anda boleh memohon BNPL walaupun anda mempunyai skor kredit di bawah tahap yang baik.
- Membahagikan pembayaran. Dengan BNPL, anda boleh membuat pembayaran besar secara berkala supaya bajet bulanan anda tidak terjejas. Sebagai contoh, komputer riba anda rosak secara tiba-tiba, dan anda memerlukan RM3,000 untuk menggantikannya. Anda boleh membuat bayaran bulanan sebanyak RM1,000 setiap bulan dan tidak perlu menggunakan simpanan kecemasan anda. Ini memberikan anda sedikit ruang untuk bernafas jika ada kecemasan yang berlaku pada bulan yang sama dengan menggunakan simpanan kecemasan untuk perkara yang mustahak dan bukannya untuk membuat pembelian.
- Kaedahnya yang senang untuk digunakan. Sebaik sahaja anda membuat pembayaran pertama, platform BNPL akan menghantar emel kepada anda. Emel tersebut akan memberikan segala butiran termasuklah jadual ansuran bulanan anda. Juga, anda boleh membuat pembayaran melalui kad debit, akaun bank, dan sesetengah platform menawarkan pembayaran melalui kad kredit pada tempoh ansuran yang lebih fleksibel.
- Pembayaran ansuran secara automatik. Anda tidak perlu menggunakan deposit tunai di ATM atau log masuk perbankan dalam talian anda setiap bulan untuk membuat pembayaran ansuran. Sebaliknya, pembayaran ansuran bulanan anda akan ditolak melalui kaedah yang anda gunakan semasa anda membuat pembayaran buat kali yang pertama.
Kekurangan Buy Now, Pay Later
- Caj pembayaran lewat yang tinggi. Kebanyakan platform BNPL akan mengenakan caj jika anda tidak boleh membayar ansuran anda. Sesetengah pembayaran platform BNPL mungkin akan menelan belanja yang lebih banyak berbanding menggunakan kad kredit.
- Anda cenderung untuk menggunakannya lagi. Platform BNPL memudahkan anda untuk membeli barangan yang anda mungkin tidak akan beli jika anda terpaksa membayar secara penuh, atau anda tidak mempunyai bajet. Walaupun BNPL memberikan anda manfaat dalam pembelian barang, ia juga boleh mempengaruhi anda untuk membuat perbelanjaan yang tidak dirancang.
- Skor kredit anda mungkin akan terjejas. Sesetengah platform BNPL mungkin akan menghantar rekod pembayaran lewat atau kepada agensi yang menyelia skor kredit. Ini akan menjejaskan skor kredit anda dan akan mendatangkan masalah pada masa hadapan.
- Pembayaran boleh menjadi sukar untuk dijejaki. Ini berlaku jika beberape pembelian dibuat daripada berbilang pembekal.
- Tiada mata ganjaran atau pulangan tunai. Buat masa ini, hampir kesemua platform BNPL tidak menawarkan mata ganjaran atau pulangan tunai untuk anda. Tidak seperti kad kredit, di mana kebanyakkan kad kredit memberikan manfaat istimewa.
BNPL vs kad kredit
Walaupun kedua-dua kad kredit dan BNPL melibatkan pembayaran tertunda, penggunaan kad kredit untuk membayar pembelian hanya memerlukan anda membuat bayaran minimum yang perlu dibayar pada kad setiap bulan. Faedah terakru pada jumlah yang tinggal sehingga anda membayarnya sepenuhnya. Selain itu, baki tertunggak boleh dibawa selama-lamanya (sambil membayar kadar faedah yang sangat tinggi!).
Sebaliknya, pembelian BNPL selalunya tidak mengenakan faedah. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai jadual tetap untuk pembayaran balik. Pada masa ini, pembekal di Malaysia membenarkan tempoh sehingga enam bulan pada satu masa. Terdapat yuran pembayaran lewat yang tinggi yang akan ditambah jika anda tidak mengikut jadual pembayaran balik. Jika anda masih gagal membayar walaupun yuran lewat dikenakan, baki anda mungkin dijual kepada agensi kutipan hutang dan skor kredit anda mungkin terjejas.
Perbandingan platform Buy Now, Pay Later
Platform BNPL manakah yang anda patut pilih? Ini adalah platform BNPL yang tersedia di Malaysia: Atome, FavePay Later, myIOU, Hoolah, PAYLATER, PayLater oleh Grab, SpayLater oleh Shopee dan Split.
Platform | Tempoh pembayaran | Fi pemprosesan | Caj pembayaran lewat |
---|---|---|---|
Atome | 3 bulan | 0% | RM30 bagi setiap pembayaran lewat (maksimum RM60 bagi setiap pembelian) |
myIOU | 2, 3 atau 6 bulan | 0% | RM5 atau 1% dari jumlah tunggakan bagi setiap pembayaran lewat – mengikut yang lebih tinggi |
MobyPay | 2 hingga 6 bulan | 0% | RM20 setiap pembayaran lewat |
PAYLATER | 4 bulan | 0% | RM10 bagi setiap 7 hari tanpa pembayaran |
PayLater oleh Grab | Bayar pada bulan yang berikutnya atau 4 bulan | 0% | Maksimum RM30 untuk setiap pembelian (hanya untuk kaedah pembayaran ansuran sahaja) |
SPayLater oleh Shopee | Bayar pada hujung bulan atau 2, 3 atau 12 bulan | 1.5% sebulan ke atas jumlah untuk pelan 3 bulan dan ke atas | RM10 setiap pembayaran lewat |
1. Atome
Tempoh pembayaran | Caj pembayaran lewat | Had kredit | Penyedia |
---|---|---|---|
3 bulan | RM30 bagi setiap pembayaran lewat (maksimum RM60 bagi setiap pembelian) | Bukan pengguna kad kredit: RM1,500; Pengguna kad kredit: RM5,000 | Zalora, The Face Shop, Shein, Ezbuy, Machines, Agoda |
Atome merupakan platform dari Singapura yang merupakan salah satu nama BNPL terbesar di Asia. Platform ini membolehkan anda membeli di lebih 2,000+ penyedia dalam talian dan juga di kedai. Ia menyediakan jenama popular seperti Zalora dan Agoda.
Platform ini mengenakan caj sebanyak RM30 untuk setiap pembayaran lewat, namun jumlah maksimum untuk setiap pembayaran lewat adalah sebanyak RM60.
2. myIOU
Tempoh pembayaran | Caj pembayaran lewat | Had kredit | Penyedia |
---|---|---|---|
2, 3 atau 6 bulan | RM5 atau 1% dari jumlah tunggakan bagi setiap pembayaran lewat – mengikut yang lebih tinggi | RM1,000 sehingga RM10,000 | Senheng, Drone Hub, Gintell |
myIOU menawarkan tempoh pembayaran yang lebih fleksibel berbanding platform lain yang disenaraikan di sini.
Namun, myIOU mempunyai jumlah penyedia yang terhad – dan penyedia tersebut bukanlah jenama yang sangat popular. Apa yang menarik pula, myIOU mempunyai penyedia yang menawarkan perkhidmatan B2B.
myIOU mengenakan caj minimum sebanyak RM5 atau 1% untuk setiap pembayaran lewat. Jumlah tersebut agak sama dengan pembayaran lewat kad kredit, yang kebiasaannya mengenakan caj minimum sebanyak RM10 atau 1% untuk setiap pembayaran lewat.
3. MobyPay
Tempoh pembayaran | Caj pembayaran lewat | Had kredit | Penyedia |
---|---|---|---|
2 hingga 6 bulan | RM20 setiap pembayaran lewat | RM10,000 | OGAWA, OTO, La Gourmet, Delfino |
MOBY dan MOBY Islamic diasaskan pada 2018 dengan matlamat yang sama: memperkasakan rakyat Malaysia untuk memiliki kebebasan kewangan dan celik kewangan.
Kedua-dua platform menawarkan pilihan pembayaran yang fleksibel, termasuk ansuran tanpa faedah sehingga 6 bulan dan PayNow untuk pembayaran segera. Pada masa yang sama, MOBY Islamic memastikan semua rakan kongsi runcit, urus niaga dan proses sejajar dengan undang-undang Syariah.
4. PAYLATER
Tempoh pembayaran | Caj pembayaran lewat | Had kredit | Penyedia |
---|---|---|---|
4 bulan | RM10 untuk setiap 7 hari tanpa pembayaran | Berdasarkan rekod pengguna | Oppo, Gamer’s Hideout, DJI, DirectD, Metrojaya |
PAYLATER (berlainan daripada PayLater oleh Grab) membahagikan pembelian anda kepada empat bayaran ansuran, yang dibayar secara bulanan. Ia menyediakan beberapa jenama teknologi yang terkenal, seperti Oppo dan DJI.
Berlainan daripada platform lain yang mengenakan caj pembayaran lewat secara bulanan, PAYLATER mengenakan caj pembayaran lewat sebanyak RM10 untuk setiap hari tanpa pembayaran. Ini bermaksud, jika anda terus terlepas membuat pembayaran, anda boleh dikenakan caj (RM10 x 4 minggu x 3 bulan; jika pembayaran ansuran bulan pertama sudah dibayar) sebanyak RM120.
5. PayLater oleh Grab
Tempoh pembayaran | Caj pembayaran lewat | Had kredit | Penyedia |
---|---|---|---|
Bayar pada bulan seterusnya atau 4 bulan | Maksimum RM30 untuk setiap pembelian (hanya untuk kaedah pembayaran ansuran sahaja) | Berdasarkan rekod pengguna | DirectD, Shiseido, Zalora, Hermo, Shein, Machines |
PayLater oleh Grab menawarkan dua kaedah pembayaran. Anda boleh membuat pembayaran bulanan selama empat bulan, atau membayar seluruh jumlah pembayaran pada bulan yang seterusnya. Anda hanya akan mendapat mata GrabRewards jika anda menggunakan kaedah pembayaran yang kedua.
Jika anda terlepas membuat pembayaran, akaun PayLater anda akan dibekukan, dan anda perlu membayar RM10 untuk mengaktifkannya semula. Jumlah maksimum pembayaran lewat yang boleh dikenakan kepada anda adalah sebanyak RM30, dan caj ini hanya dikenakan untuk pelanggan yang memilih kaedah pembayaran ansuran bulanan sahaja.
6. SPayLater oleh Shopee
Tempoh pembayaran | Fi pemprosesan | Caj pembayaran lewat | Had kredit |
---|---|---|---|
Bayar pada hujung bulan atau 2, 3 atau 6 bulan | 1.25% sebulan dari jumlah penuh pembayaran | RM10 untuk setiap pembayaran lewat (maksimum RM30 untuk setiap pembelian) | RM3,000 atau lebih, berdasarkan rekod pengguna |
SPayLater adalah keistimewaan terbaharu Shopee dalam pasaran BNPL. Ia menawarkan dua kaedah pembayaran. Anda boleh membayar seluruh jumlah pembayaran pada hujung bulan (tiada caj dikenakan) atau membayar secara ansuran selama dua, tiga atau enam bulan (dan dikenakan caj 1.25% sebulan).
Ini bermaksud anda perlu membayar lebih jika anda bersetuju untuk membayar secara ansuran. Sebagai contoh, jika anda membuat pembelian sebanyak RM3,000 dan memilih tempoh pembayaran selama enam bulan, anda mungkin perlu membayar RM187.50 (RM3,000 x 1.25% x 5 bulan; jika pembayaran ansuran bulan pertama sudah dibayar) untuk fi pemprosesan sahaja.
Jika anda tidak mampu untuk membuat pembayaran, anda mungkin perlu membayar penambahan 2.75% setiap bulan, termasuklah caj pembayaran lewat. Berdasarkan kalkulator faedah ini, jumlah ini bersamaan dengan kadar faedah tahunan sebanyak 38.48%.
Apakah akibat jika anda terlewat membuat pembayaran?
a) Anda mungkin akan dikenakan caj
Anda tidak akan dikenakan caj faedah jika anda membayar pembelian anda mengikut tempoh yang ditetapkan. Jika tidak, anda akan dikenakan caj pembayaran lewat yang tinggi.
Sebagai contoh, berikut adalah jumlah caj pembayaran lewat yang dikenakan untuk pembelian bernilai RM2,000 jika anda terus terlewat untuk membuat pembayaran selama tiga bulan:
Platform | Kadar faedah | Caj pembayaran lewat setiap bulan | Jumlah faedah + caj pembayaran lewat selepas tiga bulan |
---|---|---|---|
Atome | - | RM30 | RM60 |
FavePay Later | - | 1.5% dari jumlah tunggakan | RM30 |
myIOU | - | 1% dari jumlah tunggakan | RM20 |
Hoolah | - | RM75 | RM150 |
PAYLATER | - | RM10 seminggu = RM40 | RM80 |
PayLater by Grab | - | RM10 | RM20 |
SPayLater by Shopee | 1.25% sebulan x 2 bulan dari jumlah RM2,000 = RM50 | RM30 | RM110 |
Split | - | RM0 | RM0 |
b) BNPL mungkin akan menghubungi agensi pengutip hutang
Jika anda masih tidak boleh membuat pembayaran ansuran anda, platform BNPL akan menghubungi agensi pengutip hutang (agensi yang sama dilantik oleh pihak bank jika anda tidak boleh membayar semula pinjaman anda) untuk mengutip hutang daripada anda. Anda boleh dapatkan informasi tersebut di halaman terma dan syarat platform BNPL. Sebagai contoh, ini adalah apa yang tertakluk dalam Perjanjian Penangguhan Pembayaran Atome:
Jika Akaun anda Dibekukan disebabkan pembayaran lewat atau pembayaran yang ditolak, anda bersetuju, memberi kebenaran dan mengarahkan kami untuk mengenakan caj kepada Keadah Pembayaran pilihan anda dan/atau kad debit atau kad kredit yang anda ditetapkan untuk menuntut jumlah keseluruhan sebarang Penangguhan Pembayaran yang anda terlepas pada bila-bila masa selepas tarikh akhir Penangguhan Pembayaran. Anda bersetuju bahawa kami mempunyai hak untuk melantik pengutip hutang pihak ketiga untuk mengutip sebarang jumlah hutang anda kepada kami mengikut Persetujuan ini tanpa memberi notis awal kepada anda.
c) Skor kredit anda mungkin akan terjejas
Jika anda terus terlepas membuat pembayaran, platform BNPL anda mungkin akan memaklumkan laporan pembayaran lewat anda kepada agensi pelaporan kredit. Sebagai contoh, ini adalah polisi terma dan syarat Split:
[Kami berhak untuk] memaklumkan kepada mana-mana agensi atau biro pelaporan kredit yang wujud dalam bidang kuasa atau mana-mana agensi atau biro yang melaporkan informasi pelaporan kredit kepada mana-mana syarikat, dan mengenalpasti sebarang hutang yang tertunggak ke atas butiran anda kepada kami…
Ini mungkin akan menjejaskan skor kredit anda dan mungkin akan menyukarkan anda untuk memohon pinjaman rumah, kenderaan atau kad kredit pada masa hadapan. Namun, tidak semua platform akan melaporkan hutang anda kepada agensi pelaporan kredit.
Apa yang anda harus lakukan sebelum Buy Now, Pay Later
Sama ada anda harus menggunakan BNPL atau tidak, itu terpulang kepada setiap persediaan individu masing-masing. Namun begitu, berikut adalah beberapa tips penting sebelum anda Buy Now, Pay Later:
1. Proses permohonan
Kebanyakan syarikat BNPL secara amnya hanya memerlukan semakan kredit asas untuk kelulusan dengan kaedah pembayaran ini. Ini bermakna bahawa skor kredit anda tidak akan terjejas. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian untuk ini, di mana sesetengah syarikat mungkin melakukan semakan kredit terperinci. Ini bermakna bahawa pemiutang telah meminta untuk melihat fail kredit anda untuk menentukan berapa banyak risiko yang anda timbulkan sebagai peminjam. Ini boleh menjejaskan skor anda buat sementara waktu.
2. Masa pembayaran balik yang diperuntukkan
Ia juga berguna untuk anda mengetahui cara pembayaran BNPL anda berfungsi. Ini akan membantu anda membuat belanjawan amaun yang diperlukan mengikut masa yang diperuntukkan, jadi anda tidak akan terlepas tarikh akhir pembayaran, yang mungkin akan dikenakan caj lewat tambahan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pengaturan BNPL selalunya datang dengan faedah 0%, tetapi itu tidak selalu berlaku. Jika anda tidak berhati-hati, anda mungkin mendapat pembelian BNPL yang mengenakan caj yang sama, jika tidak lebih faedah daripada ansuran kad kredit.
3. Semak kadar caj pembayaran lewat
Setiap kali anda terlepas membuat pembayaran ansuran bulanan, anda akan dikenakan caj pembayaran lewat. Juga, setiap platform BNPL mempunyai kadar caj pembayaran lewat yang berlainan. Sila semak di sini untuk melihat setiap kadar caj pembayaran lewat platform BNPL di Malaysia.
4. Teliti terma dan syarat platform BNPL
Sebelum anda membuat pembelian, baca dahulu terma dan syarat platform BNPL pilihan anda. Baca dengan teliti cara pembayaran balik jika anda ingin memulangkan barangan tersebut, atau barangan tersebut hilang semasa proses penghantaran atau rosak semasa anda menerimanya.
Berikut adalah beberapa lagi soalan untuk anda pertimbangkan mengenai BNPL:
Adakah anda akan membeli barangan tersebut jika kaedah BNPL tidak tersedia?
Pembayaran BNPL sesuai dengan bajet bulanan anda?
Adakah anda akan lebih bermanfaat jika pembelian dibuat melalui kad kredit?
Bolehkah anda ingin menggunakan pembayaran ansuran secara automatik? Jika ya, pastikan anda sudah mengetepikan wang untuk ansuran tersebut. Jika tidak, amsukkan ansuran tersebut ke dalam bajet bulanan anda supaya anda tidak terlupa atau terlepas tarikh pembayaran.
Adakah anda perlukan BNPL?
BNPL ditujukan kepada mereka yang mahukan lebih banyak pilihan untuk pembayaran ansuran, tetapi tidak layak untuk kad kredit. Ini mungkin individu berpendapatan rendah yang memerlukan pilihan untuk membeli peralatan rumah atau barang tertentu, atau bagi mereka yang mempunyai bajet yang ketat dan perlu menyebarkan beberapa pembayaran untuk mematuhinya.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa sifat jangka pendek BNPL bermakna ansuran akan tetap lebih tinggi daripada pelan pembayaran balik kad kredit atau kedai dalaman. Oleh itu, walaupun jumlah keseluruhan mungkin lebih rendah dengan BNPL, anda masih perlu membayar balik amaun yang lebih banyak setiap bulan.
Bahaya BNPL adalah serupa dengan kad kredit. Anda akan memerlukan kawalan diri untuk memastikan anda tidak membeli lebih daripada yang anda mampu. Membeli sekarang dan membayar kemudian masih boleh menyebabkan anda berhutang, walaupun caj pembayaran lewat lebih rendah daripada kad kredit dan pinjaman bank.
Haruskah anda Buy Now, Pay Later?
BNPL membantu anda membuat pembelian yang besar tanpa menjejaskan pengurusan kewangan bulanan anda. Ini adalah beberapa situasi yang mungkin memberi manfaat kepada anda:
- Jika anda boleh menepati tempoh pembayaran.
- Jika anda ingat membuat pembelian yang penting atau pembelian kecemasan – seperti menggantikan peti sejuk yang rosak – dan anda memerlukan masa untuk membuat pembayaran.
- Jika anda menggunakan kredit untuk membuat pembelian yang penting, tetapi rekod kredit anda tidak begitu baik untuk mendapatkan kad kredit atau pinjaman peribadi.
Namun, jika anda tidak terlibat dengan mana-mana situasi di atas, mungkin anda boleh menangguhkan pembelian sehingga anda berjaya mengumpul wang yang secukupnya untuk membeli tanpa menggunakan BNPL. Sebenarnya, membeli barangan sekarang dan membayarnya kemudian bermaksud anda meminjam wang dari masa hadapan – dan agak sukar untuk anda menikmati sepasang kasut baharu atau pembersih hampagas yang mewah jika barangan tersebut masih mempunyai hutang.