Pinjaman Gadai Janji – Apakah Dia, Di Mana dan Daripada Siapa?
Table of Contents
Apakah itu Pinjaman Gadai Janji?
Pinjaman gadai janji (atau lebih dikenali dengan “gadai janji”) ialah pinjaman yang digunakan untuk membeli rumah atau lain-lain hartanah. Dalam perjanjian gadai janji, anda (peminjam) memberi kepada pemberi pinjaman (biasanya bank) hak ke atas hartanah sehingga anda menjelaskan sepenuhnya segala pembayaran bersama-sama dengan faedahnya.
Secara ringkasnya, bila anda menggunakan gadai janji untuk membeli sebuah rumah, anda sebenarnya mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah tersebut. Pinjaman ini dijamin oleh rumah yang sama, iaitu rumah anda digunakan sebagai cagaran kepada pinjaman tersebut. Sekiranya anda ketinggalan membayar bayaran bulanan, pemberi pinjaman ada hak untuk mengambil kembali rumah anda.
Kebanyakan orang masih bergantung kepada pinjaman gadai janji dalam pembelian rumah mereka (tidak ramai mampu membeli sesuatu hartanah secara tunai sekali gus).
Di mana nak mohon gadai janji?
Jika anda bercadang untuk membeli hartanah, terdapat beberapa cara anda boleh mendapatkan gadai janji. Contohnya dari broker gadai janji, bank dan persatuan pembinaan. Perbezaan utama di antara mereka ialah kadar faedah, jumlah pinjaman dan tempoh pinjaman. Mari kita lihat secara lebih dekat:
Mendapatkan gadai janji dari bank
Berurus dengan bank mungkin merupakan satu opsyen pilihan ramai. Pegawai pinjaman biasanya akan membantu anda dalam proses dan prosedur permohonan.
Pada umumnya, yuran tambahan atau komisyen adalah lebih rendah bila anda mohon gagai janji secara terus dari bank. Kerana tiada orang tengah di antara anda dan bank, kos dapat dikurangkan (kakitangan bank tidak mempunyai insentif untuk mengenakan caj lebih kerana mereka pekerja bergaji yang tak dapat langsung (atau dapat sikit saja) komisyen sekiranya pinjaman anda diluluskan.
Jadi jika anda mempunyai rekod kredit yang baik, kerja yang menjanjikan pendapatan yang stabil dan sejumlah aset kewangan, bank selalunya tiada masalah untuk memberikan anda pinjaman gadai janji.
Mendapatkan gadai janji dari persatuan pembinaan
Di Malaysia anda boleh mendapatkan pinjaman perumahan dari Malaysia Building Society Berhad (MBSB).
Pinjaman perumahan dari MBSB selalunya memberikan kadar faedah yang kurang menarik, namun MBSB secara tradisinya tidak mengenakan syarat yang sebegitu ketat (iaitu lebih mudah mendapatkan pinjaman perumahan dari MBSB dari mendapatkannya dari bank). Kebanyakan orang yang mempunyai skor kredit yang rendah akan menemui MBSB setelah ditolak oleh bank – inilah sebabnya mengapa kadang-kadang MBSB dirujuk sebagai “pemberi pinjaman paling akhir”.
Mendapatkan gadai janji dari broker gadai janji
Broker gadai janji memainkan peranan sebagai orang tengah dalam urusan gadai janji dan memberi nasihat tentang produk pinjaman terbaik untuk anda. Mereka tidaklah memberi pinjaman secara terus kepada anda, tetapi bertindak bagi pihak pemberi pinjaman. Jadi broker gadai janji berbeza dengan pemberi pinjaman gadai janji seperti bank atau persatuan pembinaan.
Jika anda mencari broker gadai janji, ingatlah bahawa broker yang terbaik biasanya adalah yang berurus dengan berbagai pemberi pinjaman gadai janji. Penting untuk anda merujuk kepada pengalaman dan rekod kerja mereka. Broker gadai janji yang baik adalah mereka yang berpengetahuan tentang industri ini dan faham tentang pelbagai jenis gadai janji. Mendapatkan broker gadai janji yang baik dapat membantu anda menilai tawaran yag terbaik berdasarkan keadaan kewangan dan rekod kredit anda.
Broker gadai janji juga dapat membantu anda dalam proses membuat permohonan – kadang-kadang lebih mudah memohon melalui broker kerana broker mempunyai jaringan dan hubungan yang lebih baik dengan bank dan lain-lain pemberi pinjaman gadai janji. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai rekod kredit yang kurang baik atau pendapatan yang tidak stabil, kerana broker gadai janji kadang-kadang dapat membantu anda mendapatkan pinjaman walaupun bank telahpun menolak permohonan anda. Namun, ingatlah bahawa pinjaman seperti ini selalunya mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi.