Terbongkar: Penipuan kad kredit di Malaysia
Baru-baru ini Johan hampir berdepan dengan penipuan kad kredit apabila dia mengunjungi sebuah restoran baru. Setelah selesai makan, dia meminta bil dari pelayan dan apabila bil tiba, dia memberi kad kredit kepada pelayan untuk membuat bayaran. Setelah beberapa minit, pelayan tersebut kembali dengan resit kad kredit untuk ditandatangani oleh Johan.
Pada kebanyakan masa, Johan akan menandatangani resit dan menyimpan kad serta salinan resit ke dalam dompet beliau. Namun, kali ini dia menyemak kad kredit sebelum menyimpannya dan sedar bahawa kad tersebut, walaupun adalah dari bank yang sama, bukanlah kad kepunyaannya, tapi kad yang telah tamat tempoh dan adalah kepunyaan orang lain.
Dengan segera, dia memaklumkan pelayan tentang masalah itu, dan pelayan itu mengambil kad tersebut dan menukarkannya dengan kad yang sebenar di kaunter pembayaran tanpa bertentangan mata. Kejadian ini mengajar Johan sesuatu; betapa pentingnya untuk menyemak kad kredit anda setiap kali ia keluar dari pandangan anda, walaupun untuk beberapa saat.
Cerita di atas adalah salah satu cara yang biasa digunakan untuk melakukan penipuan kad kredit. Malangnya, terdapat ribuan kes penipuan kad kredit yang berlaku dalam pelbagai cara lain, di mana kebanyakannya adalah lebih kompleks dari helah yang hampir terkena ke atas Johan.
Sesetengah mangsa penipuan kad kredit melaporkan bahawa juruwang cuba untuk mengambil gambar kad kredit mereka secara tersembunyi menggunakan telefon pintar mereka, manakala sesetengahnya cuba untuk mengklon kad kredit mereka pada masa itu juga. Maka, pengguna kad kredit dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan semak bahawa kad sentiasa berada bersama mereka dan tiada apa-apa berlaku kepada kad.
Pada bulan Jun tahun ini, seorang pendandan rambut berdepan dengan hutang sebanyak RM200,000 disebabkan penipuan kad kredit. Menurut Michael Chong, Ketua Jabatan Aduan dan Khidmat Awam MCA, beliau telah menerima 13 kes berhubung penipuan kad kredit tahun ini sahaja dengan kerugian sehingga RM662,000.
Dalam usaha Bank Negara Malaysia untuk membendung penipuan kad kredit di Malaysia, hampir semua kad kredit yang dikeluarkan telah digantikan dengan kad cip serta terminal titik jualan juga telah dinaik taraf untuk menerima kad cip pada penghujung 2004.
Dengan pelaksaan kad cip, kes penipuan kad kredit telah merosot sebanyak 43.2% bagi separuh tahun pertama 2005 berbanding separuh tahun pertama 2004. Malaysia adalah negara peneraju di rantau ini yang menggunakan infrastruktur cip EMV untuk menangani penipuan palsu.
Sejak itu, penipu-penipu telah menjadi lebih bijak dan telah merungkai kod untuk cip kad kredit. Oleh itu, pengguna kad kredit digalakkan untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan kad kredit dan transaksi yang dilakukan. Pengguna kad kredit dinasihatkan untuk memupuk tabiat kad kredit yang baik bagi mengelakkan penipuan.
Sesetengah tabiat untuk menjadi pengguna kad kredit yang bijak adalah:
- Anggap dan layan kad anda seperti wang. Gunakan kad anda dengan berhemat untuk mengelakkan dari membayar jumlah faedah yang tinggi.
- Simpan nombor kad anda. Jangan tulis dan kongsinya dengan sesiapa atau benarkan mereka untuk mengambil gambar kad anda.
- Turunkan tandatangan di belakang kad baru anda serta merta menggunakan pen berdakwat kekal.
- Potong kad kredit lama anda apabila ia telah tamat tempoh.
- Semak kad anda apabila ia dipulangkan oleh juruwang untuk memastikan yang ianya adalah milik anda dan ia tidak dimanupilasi dalam apa cara sekalipun.
- Simpan resit supaya anda boleh menyemaknya berbanding penyata anda.
- Maklumakan pengeluar kad kredit anda dengan segera apabila transaksi yang tidak dikenali wujud di dalam penyata anda.
- Simpan penyata anda di tempat yang selamat atau cincang dan buangkannya.
- Beritahu pengeluar kad kredit anda berkenaan sebarang perubahan alamat untuk mengelakkan penyata anda dihantar ke alamat lama.
- Maklumkan kepada bank anda serta merta jika anda kehilangan kad anda.
- Lakukan transaksi atas talian dengan syarikat yang bereputasi. Pastikan laman sesawang mereka mempunyai ciri-ciri keselamatan.
- Elakkan dari membalas emel, mesej atau panggilan telefon yang meminta maklumat kad kredit.
Jika anda syak yang anda telah menjadi mangsa penipuan kad kredit, perkara pertama yang anda perlukan ialah untuk menghubungi bank anda (pengeluar kad kredit) untuk membatalkan kad dengan segera. Kemudian, langkah seterusnya adalah untuk membuat laporan polis.
Bank Negara Malaysia telah menetapkan dalam Fasal 13.2, Panduan Kad Kredit Bank Negara bahawa pengguna tidak perlu membayar lebih dari RM250, untuk transaksi penipuan yang dilakukan menggunakan kad mereka yang telah hilang ataupun dicuri.
Pemegang kad juga perlu mengemukakan bukti bahawa bukan mereka yang melakukan penipuan dan telah memaklumakan kepada bank tentang kad yang hilang atau dicuri secepat mungkin. Oleh itu, ianya adalah amat penting bagi pemegang kad untuk sentiasa menyemak kad mereka untuk memastikan yang ianya tidak hilang ataupun dicuri.
Jika Johan tidak berhati-hati dan berwaspada, kad beliau mungkin telah dicuri dan digunakan untuk sejumlah transaksi yang boleh mencapai jumlah hutang yang besar. Kad kredit, sejenis kaedah pembayaran yang sepatutnya adalah lebih selamat dari membawa wang yang banyak adalah terdedah kepada penipuan. Walaubagaimanapun, menyemai tabiat kad kredit yang baik boleh membawa perubahan dalam usaha menangani percubaan penipuan ini.
Belajar tentang anatomi transaksi kad kredit melalui infografik ini untuk menjadi pengguna kad kredit yang lebih bijak.