Soalan Setiap Pelabur Baru Perlu Tanya
Table of Contents
Tiada manusia dicipta sama. Konsep yang sama boleh digunakan bila melabur. Sebagai pelabur baru, salah satu perkara pertama yang anda perlu tahu ialah berusaha untuk memahami diri sendiri. Soalan “jenis pelabur apakah saya ini?” harus sentiasa mendahului “dalam apa saya perlu melabur?”. Lebih baik anda fahami diri sendiri dan keadaan individu anda,lebih mudah untuk merangka satu strategi pelaburan yang sesuai untuk diri anda. Terdapat banyak cara untuk mengkategori pelabur, tetapi di sini ada dua kaedah yang diterima secara meluas:
Peringkat kehidupan – berapa tua / muda diri anda?
Mengikut kebiasaannya, pelabur muda (contohnya di bawah umur 30) mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk pulih dari kerugian jangka pendek kerana mereka boleh terus mengumpul kekayaan melalui pekerjaan seharian mereka dalam tahun-tahun akan datang. Oleh itu, mereka biasanya boleh menghadapi turun naik pelaburan berisiko. Sebaliknya, pelabur hampir nak bersara (contohnya umur 50 dan ke atas) perlu memegang pelaburan yang lebih konservatif, kerana mereka tidak lagi boleh bergantung kepada pendapatan gaji untuk mengimbangi sebarang kerugian pelaburan.
Sumber dan ukuran kekayaan
Cara bagaimana pelabur telah mengumpul kekayaan boleh memberi petunjuk tentang keupayaan dan kesanggupan pelabur menanggung risiko. Kekayaan yang telah diwujudkan melalui aktiviti keusahawanan (contohnya, melalui penjualan perniagaan yang berjaya) mungkin hasil dari mengambil risiko yang besar. Oleh yang demikian, pelabur menunjukkan kesediaan yang lebih besar bagi risiko. Sebaliknya, individu yang telah mengumpul kekayaan melalui perbelanjaan yang konservatif dan penjimatan yang berhati-hati dalam tempoh masa yang panjang akan menunjukkan tahap toleransi terhadap risiko yang lebih rendah. Persepsi kekayaan adalah penting juga. Tanpa mengira sama ada seseorang itu kaya atau miskin, bagaimana anda melihat diri anda mungkin akan menentukan kesediaan anda menghadapi risiko. Seorang pelabur yang percaya bahawa kekayaan beliau adalah kecil (walau apa jua ukurannya) mungkin juga akan mempunyai keinginan yang kuat untuk melindunginya.
Mengapa ini penting?
Mempunyai kefahaman yang baik mengenai diri anda sebagai pelabur adalah amat penting kerana ia boleh membantu menentukan pelaburan apa yang anda patut buat. Tak seperti jenama bijirin di pasar raya, memilih pelaburan yang salah boleh menjadi sangat merugikan dan dapat menjejaskan kesejahteraan anda (kewangan serta emosi) dengan ketara, dan anda boleh elakkan perkara ini dengan mudah dengan mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang keadaan individu anda. Jadi, jenis pelabur apakah anda? Suka artikel ini? Anda mungkin akan suka Faktor-faktor penting dalam pengumpulan kekayaan jangka panjang.